LEDANG – Seorang lelaki mati lemas
selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam parit sedalam hampir
tujuh meter di kawasan kebun kelapa sawit di Felda Sri Jaya, Bukit
Serampang, semalam.
Mangsa, Mohd Fauzi Jamal, 34, dari
Kampung Parit Kassan Bukit Gambir maut di tempat kejadian kerana
terperangkap dalam kereta Honda Civic miliknya yang terbalik dalam parit
tersebut.
Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Ayuhan Alias berkata, kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi.
“Ia hanya disedari penduduk Felda itu
setelah ternampak kereta berkenaan terapung dengan keempat-empat
tayarnya ke atas, kira-kira jam 8 pagi,” katanya.
Menurutnya, penduduk kampung kemudiannya
menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir pada jam 9.30 pagi
untuk bantuan kecemasan.
“Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang ketika itu masih berada di tempat duduk pemandu.
“Kita percaya mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi tidak berjaya kerana tali pinggang keledar dilihat sudah dibuka,” katanya.
Katanya, penduduk hanya menghubungi
bomba dan pusat kesihatan selepas usaha mencari mangsa yang dikatakan
dalam perjalanan pulang ke Bukit Gambir itu gagal.
Sementara itu, Ketua Polis Ledang,
Superintenden Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian
dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment