Sebut sahaja Tongkat Ali atau Kacip Fatimah kepada warga Malaysia, pasti ia membuatkan mereka tersenyum. Ini kerana kedua-dua herba ini mempunyai hubung kait dengan budaya atau amalan mereka yang sudah berkelamin.
Hanya dengan mendengar namanya sahaja, ia sudah memberikan gambaran asas mengenai kegunaan herba-herba ini.
Herba-herba ini berkhasiat untuk meningkatkan libido (syahwat) dan kesihatan baik bagi lelaki mahupun perempuan. Bagi mereka yang masih sangsi dengan ubatan tradisional, semua khasiat Kacip Fatimah atau nama saintifiknya Labisia pumila Benth akan terjawab setelah bertemu dengan Prof. Madya Dr. Hawa ZE Jaafar, daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau telah menghabiskan masa lebih daripada lima tahun mengkaji dan menerbitkan berdozen kertas kerja berkenaan herba ini. Selain memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Fellowship Naib Canselor; dan baru-baru ini, beliau diangkat sebagai pemenang pingat perak di Ekspo Teknologi Malaysia 2013, hasil inovasinya dalam perkembangan tumbesaran Kacip Fatimah, sejenis tumbuhan lembam berakar pendek yang tumbuh meliar di dalam hutan.
(Beliau juga memenangi pingat perak di ekspo yang sama untuk satu lagi kajiannya bertajuk “Novel Antioxidant Activities and Secondary Metabolite Enhancement of Labisia Pumila Benh Under Manipulation of Greenhouse Irradiance”)
Prof. Madya Dr. Hawa ZE Jaafar, UPM
Menurutnya, walaupun khasiat Kacip Fatimah terkenal di seluruh dunia bagi kegunaan wanita sebelum dan selepas bersalin, namun ia masih perlu banyak kajian dan menjalani ujian makmal bagi membolehkan perladangan secara komersil dibangunkan dalam penghasilan bahan mentah bagi tujuan perusahaan farmaseutikal. Pada masa ini, beberapa projek kendaliannya menyentuh kesan pelbagai faktor alam sekitar terhadap kandungan fitokimia dalam Kacip Fatimah yang juga merupakan waktu terbaik untuk menentukan “indeks penuaian metabolit sekunder tinggi”.
Beliau turut berkata, lebih banyak kajian diperlukan bagi memperkukuhkan penemuan sebelumnya, “sama seperti penemuan saintis lain, kajian kami juga mendapati khasiat Kacip Fatimah bersifat anti-kanser, anti-kulat dan anti-radang, disamping khasiatnya yang merangsang estrogen.”
Kini, beliau giat menjalankan kajian terhadap keupayaan Kacip Fatimah untuk melindungi sel semasa rawatan kemoterapi, atau mengurangkan kesan kemo-ketoksinan ketika pesakit barah menjalani rawatan.
Beliau mendapati keberkesanan bagi tujuan perubatan ada pada tiga jenis Labisia pumila Benth, yang mempunyai kandungan fitokimia seperti phenolic dan sebatian flavonoid.
Dalam amalan perubatan tradisional, daun Kacip Fatimah direbus bersama dengan ramuan herba lain dan campurannya diminum atau digunakan untuk mandi.
Bagaimanapun, herba yang hidup meliar ini terdedah kepada kepupusan akibat eksploitasi secara berleluasa seperti yang terjadi kepada Tongkat Ali, walaupun begitu, ia masih boleh diselamatkan dengan penanaman secara domestik berskala besar.
Malahan, bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan kapsul Kacip Fatimah (untuk kegunaan semasa dan selepas bersalin) juga kebanyakannya diperolehi dari hutan.
Dr. Hawa ZE yang merupakan seorang pakar dalam fisiologi persekitaran tumbuhan dan metabolit sekunder, juga merupakan perintis di Malaysia dalam pembangunan Teknik Novel Perkayaan Karbon Dioksida bertujuan merangsang pertumbuhan dan ciri farmaseutikal, terutama bagi tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan mendapati bahawa teknik ini boleh menjadi cara terbaik untuk penananam Labisia pumila Benth. dan herba-herba lain bagi keguaan industri dalam penghasilan ubat-ubatan, terutama dalam pengeluaran kompaun khusus yang disasarkan.
Dengan kaedah terkininya itu, ia membekalkan lebihan dos karbon dioksida secara strategik terhadap tumbesaran Kacip Fatimah yang ditanam dalam ruangan tertutup dan antara lainnya:
- mengurangkan masa untuk penuaian daripada 16-18 bulan kepada 7-8 bulan
- mengurangkan kos;
- meningkatkan jumlah dan kadar sebatian fitokimia khusus sebanyak 180 ke 1,000 peratus dengan terhasilnya daun yang lebih lebar, peningkatan jumlah dan jisim daun;
- membekalkan kadar pemulihan sebatian fitokimia tertinggi, dan
- menghasilkan tumbesaran yang seragam, kental, dengan kadar metabolit sekunder yang tinggi, berbanding penanaman dalam kondisi yang normal dengan penghasilan kadar metabolit sekunder yang rendah dan benih yang lemah;
- memastikan ketulenan zarah tumbuhan dan pengeluaran berterusan.
Beliau juga turut berkata, daun yang dituai dari pokok selepas tujuh bulan ditanam dengan menggunakan kaedah keratan daun, mengandungi fitokimia yang sangat tinggi. Pada masa ini, pasukan penyelidiknya sedang mengenal pasti sama ada ia adalah kemuncak dan peringkat paling sesuai untuk menentukan “indeks penuaian metabolit sekunder tinggi” bagi tujuan perindustrian.
Sedang beberapa penyelidik lain cuba mencambahkan herba melalui pengkulturan tisu, beliau pula menggunakan kaedah keratan daun. Menurutnya, masih banyak lagi kajian perlu dilakukan terhadap Kacip Fatimah, dan seperti juga Tongkat Ali, Misai Kuching, Hempedu Bumi, Pegaga, Mengkudu, Roselle, Mas Cotek, Halia dan Daun Belalai Gajah, adalah tumbuhan yang tergolong dalam kumpulan herba yang dikenal pasti sebagai 10 jenis herba paling utama untuk dibangunkan bagi tujuan komersil selaras dengan sasaran Bidang Ekonomik Utama Negara di bawah kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kementerian terbabit juga mensasarkan 10 ubatan farmaseutikal dan 5 ubatan botanikal menjelang 2020, yang mana geran-geran penyelidikan disediakan bagi para saintis membuat kajian berkenaan salah satu daripada 10 herba berkenaan.
Apabila ditanya adakah Kacip Fatimah benar-benar berkesan, Dr. Hawa ZE yang baru meraikan hari lahirnya yang ke 59 menjawab “Benar!”.
Beliau telah mula mengambil kapsul herba sejak Julai atau Ogos tahun lepas dan bersedia berkongsinya pada bila-bila masa.
"Ia bukan mitos … ia adalah kenyataan dan telah dipraktikkan oleh beberapa generasi di dunia Melayu sebelum ini seperti amalan pemakanan majun dan jamu (dua ramuan herba)," katanya, sambil menambah bahawa dokumentasi saintifik Kacip Fatimah yang pertama dicatatkan oleh Burkill pada tahun 1935.
No comments
Post a Comment