KUALA LUMPUR – Penyanyi Shila Amzah menganggap tindakannya memuat naik gambar pakaian senaman yang dilihat agak sendat di laman sosial Instagram hanya untuk berkongsi bersama peminat-peminatnya.
Shila, 23, berkata dia tidak menyangka perkara tersebut telah mencetuskan kemarahan masyarakat yang menganggap gambar tersebut sebagai tidak sopan.
“Saya tidak sedar dan tidak terfikir langsung perkara tersebut boleh jadi isu kerana tujuan sebenar saya berbuat demikian adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat yang saya memiliki pakaian yang sesuai untuk ke gim.
“Setelah memuat naik gambar itu, saya terus tinggalkan telefon bimbit di rumah dan sejam selepas itu saya lihat ibu dan ayah hantar mesej meminta saya menghapuskan gambar tersebut dengan segera. Ketika itu baru saya tersedar ia sensitif,” jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu Shila yang kini bermastautin di Shanghai, China mengakui aktif berkomunikasi dengan peminat-peminatnya melalui laman sosial Instagram dan berkongsi aktivitinya setiap hari.
“Saya tinggal di sana sendirian jadi saya banyak habiskan masa dengan peminat jika ada masa terluang.
“Mungkin kerana itu saya tidak menyangka ia boleh dijadikan isu kerana saya faham cara berfikir kita berbeza, saya fikir lain orang lain pula nampak lain,” jelasnya.
Gambar baju senaman yang menimbulkan kontroversi awal minggu lalu.
Bagaimanapun, kata Shila dia mengambil positif kejadian tersebut sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati ketika berkongsi kegiatan hariannya.
Sementara itu, diminta mengulas berkaitan bekas kekasihnya Sharnaaz Ahmad yang dikatakan rapat dengan seorang pelakon baru berasal daripada Singapura, Elfaiza Ul Huq, Shila menganggap ia adalah perkara peribadi aktor tersebut.
“Hubungan kami sudah berakhir dan itu adalah hak dia untuk berkawan dengan siapa sahaja.
“Bagus untuk dia dan saya harap yang terbaik sahaja,” katanya.
Jelas Shila, dia tidak mengikuti perkembangan aktor tersebut berikutan banyak laman web dan laman sosial yang tidak dibenarkan oleh negara tersebut.
“Banyak laman web yang diharamkan di China, jadi saya kurang ambil tahu. Kadang-kadang berita industri hiburan Malaysia pun saya tertinggal,” katanya.
Namun, Shila berkata jiwanya kini lebih tenteram dan bahagia dalam menjalani kehidupan dan persekitaran kerja yang baharu.
Dalam perkembangan lain, Shila yang bercuti selama dua minggu sebelum pulang ke China akan melancarkan album terbaharunya dalam masa terdekat. - mStar Online
No comments
Post a Comment