Bagan serai: “Saya hanya berserah kepada Allah SWT tidak dipatuk ular berbisa itu dan dapat menyempurnakan solat secepat mungkin,” kata Md Yassin Saari, 53, apabila seekor ular muncul ketika dia menunaikan solat Isyak di rumahnya, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, dia menunaikan solat bersendirian di bilik utama di rumahnya di Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, sebelum terkejut dengan kehadiran ular itu .
“Ketika itu, saya sedang tahayat akhir dan tiba-tiba perasan kehadiran ular itu yang tiba-tiba berada di sebelah kiri saya. “Saya yang ketakutan menyempurnakan solat tergesa-gesa kerana bimbang ular itu masuk dalam kain saya,” katanya.
Md Yasin berkata, selepas selesai mengerjakan solat, dia bersama anaknya berusaha menghalau ular berbisa itu keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan mereka.
“Saya tidak tergerak hati membunuhnya kerana percaya ada hikmah di sebalik kehadirannya di sisi saya ketika menunaikan solat.
“Selepas mengusir ular itu keluar dari rumah, saya mengambil keputusan melepaskan dan membiarkannya menyusuri hutan berdekatan rumah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam. [Hmetro]
No comments
Post a Comment