China – Tindakan seorang budak dari China yang menconteng khazanah zaman purba di Mesir beberapa hari lalu, telah mencetuskan kemarahan penduduk di negara berkenaan yang malu dengan kejadian tersebut.
Biarpun ibu bapa kepada remaja berusia 15 tahun itu telah meminta maaf atas perbuatan anak mereka, namun ia tidak dapat menghilangkan kemarahan penduduk China.
“Ia merupakan detik yang paling menyedihkan sepanjang saya bercuti di Mesir, dan saya amat malu.
“Kami cuba memadamkan tulisan tersebut dengan tisu, namun ia sukar dibersihkan dan kami juga tidak boleh menggunakan air kerana ia merupakan peninggalan sejarah sejak 3,500 tahun lalu,’’ kata seorang pelancong China, Shen.
Beberapa hari lalu, seorang remaja dari China telah ditangkap selepas merosakkan bahan sejarah di Mesir dengan menconteng dinding sebuah makam purba berusia 3,500 tahun dengan perkataan `Ding Jinhao berada di sini’.
Selain itu, media sosial turut menghentam remaja itu kerana merosakkan bahan sejarah serta ibu bapanya yang dikatakan gagal mendidik anak dengan baik.
Dalam pada itu, seorang pemimpin kanan di China, Wang Yang memberi amaran kepada rakyat China agar menjaga tatatertib ketika melawat negara luar.
Wang Yang turut menekankan bahawa pihak berkuasa China sepatutnya mengajar penduduk di negara itu mengenai kepercayaan dan adat negara asing, menjaga tata susila serta tingkah laku mereka selain memelihara alam sekitar.
No comments
Post a Comment