PETALING JAYA – Bekas penyerang bola sepak kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli memperluaskan lagi kerjayanya apabila menerima tawaran untuk bergelar pelakon di bawah syarikat produksi Zeel Productions.
Akmal, 32, berkata, sebagai permulaan, dia bersetuju melakukan penampilan khas menerusi drama berjudul Klon untuk siaran RTM bagi membawa watak sebagai tenaga pengajar bola sepak.
“Saya ditawarkan oleh pihak Zeel Production untuk melakonkan watak sebagai tenaga pengajar bola sepak. Susah juga nak berlakon, lebih-lebih lagi ketika diminta membuat mimik muka.
“Tetapi ia membuatkan hati saya terbuka untuk serius di bidang ini dan sedia bergelar pelakon sekiranya ditawarkan berlakon pada masa akan datang nanti,” katanya.
Tambah Akmal, walaupun hanya dua hari penggambaran, ia cukup bermakna untuk dia menimba pengalaman bekerja sebagai pelakon yang sememangnya berbeza berbanding beraksi di padang bola.
Bagaimanapun, Akmal masih belum bersedia untuk bergelar pelakon sepenuh masa memandangkan dia masih lagi mempunyai komitmen dalam sukan bola sepak.
“Memang rasa seronok apabila berlakon, kepuasannya sangat berbeza dan saya senang dengan kerja-kerja seperti ini walaupun banyak masa yang akan digunakan.
“Malah ia mencabar diri kita dalam melihat sejauh mana kemampuan kita dalam melakukan sesuatu perkara,” ujarnya.
Klon yang turut dibintangi pelakon Tasha Shilla, Rozita Che Wan, Reza Hasbi dan Azza Elite itu diarahkan oleh Mazri Mustafa dan masih menjalani penggambaran sehingga 26 Jun ini.
Akmal merupakan antara bekas pemain bola sepak negara yang mencipta nama di peringkat antarabangsa selain pernah beraksi di kelab bola sepak Perancis sebelum ini.
Selepas meninggalkan skuad kebangsaan, dia kini bersama pasukan Kedah untuk bersaing dalam Liga Malaysia.
No comments
Post a Comment