“Saya ingin menjadi sutradara dan menghidupkan watak-watak yang saya tulis. Saya tak mahu perhatian yang lebih daripada masyarakat dan tak kisah orang boleh terima atau tidak dengan hasil penulisan saya. Paling penting saya dapat berkarya,” ujar Nani ketika ditemui di majlis pra tonton filem-filem pendek, Ikal Mayang.
Tambah Nani lagi, dia pernah menerima nasihat daripada pengarah tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad, bahawa untuk membuat filem yang baik, haruslah dengan niat yang baik.
“Arwah Yasmin kata, apabila niat kita untuk menghasilkan sesuatu filem itu baik, maka cerita yang ingin disampaikan pun jelas,” ujar Nani.
Terlibat dengan projek filem-filem pendek Ikal Mayang yang mengisahkan tentang kehidupan wanita, Nani menjelaskan, dia selalu ingin menghasilkan filem yang menunjukkan wanita sebenarnya kuat, berdikari dan mampu berpijak di atas kakinya sendiri.
“Dalam filem dan drama sering menunjukkan bahawa wanita seorang yang lemah, dan terlalu bergantung hidup dengan lelaki. Saya sering tertanya , kenapa kita tidak tunjuk hakikat sebenar yang wanita tidak selemah yang disangka? Untuk projek Ikal Mayang ini, saya tampil dengan karya berjudul ‘Hawa’ yang memaparkan beberapa isu yang mungkin tidak boleh diterima oleh sesetengah pihak,” ujar Nani lagi.
Oleh kerana cerita yang disampaikan Nani agak sensitif, jadi karyanya itu tidak akan ditayangkan di kaca televisyen. Biarpun begitu, pelakon ini tidak terkilan kerana faham dengan situasi.
“Saya lebih selesa ‘Hawa’ tidak ditayangkan di kaca televisyen. Saya bercerita tentang seorang gadis yang cuba melawan nafsu dengan imannya. Namun, saya faham sekiranya penonton tidak dapat menerima isu yang saya ketengahkan inI. Saya lebih selesa filem pendek ini tidak ditayangkan di TV”, ujar Nani.
‘Hawa’ berkisar tentang seorang gadis yang tahu bahawa keinginannya tidak akan mengubah takdir Tuhan. Walaupun hatinya terlalu ingin menuruti nafsunya, namun Hawa cuba melawan keinginannya itu dengan solat dan berdoa kepada Allah. – Gua.Com
No comments
Post a Comment