GEORGE TOWN – Persiapan pentas dan khemah bagi sambutan Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia anjuran Barisan Nasional (BN) negeri di Kolej Han Chiang di Jalan Lim Lean Teng di sini hari ini yang akan dimeriahkan dengan persembahan artis rap Korea Selatan, Psy siap sepenuhnya.
Pentas utama setinggi 15 meter dengan keluasan 61 meter persegi sama seperti saiz sebuah pentas bagi konsert hiburan siap dibina semalam oleh pihak pengurusan acaranya, Mega Ultimate Sdn. Bhd.
Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Oh Tong Keong berkata, seramai 60 petugas bekerja keras membuat persiapan pentas dan khemah sejak Khamis lalu.
Katanya, sebanyak 60 pembesar suara diletakkan di sekeliling padang, selain 20 lampu limpah dan 50 lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi memastikan sistem pencahayaan di pentas memberikan suasana bertenaga semasa konsert.
“Penganjur juga menyediakan satu kawasan terbuka di hadapan pentas untuk orang ramai menonton dan menari bersama Psy. Kawasan itu boleh memuatkan kira-kira 3,000 orang secara berdiri,” ujarnya.
Psy dijemput ke majlis tersebut yang bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. - Kosmoa
No comments
Post a Comment