KUALA LUMPUR: Kehadiran 'orang ketiga', Bella Deluna Valentina, sebagai anak angkat kepada penyanyi Stacy tidak memberi kesan terhadap hubungan cinta antara Stacy dan kekasihnya, Akim Ahmad, apalagi terbit rasa cemburu.
Akim mengakui tiada perasaan cemburu terbit di hatinya setiap kali Stacy memberikan perhatian kepada Bella kerana beranggapan bahawa naluri keibuan yang ada pada Stacy perlu ada pada setiap wanita.
"Saya tidak pernah cemburu jika Stacy memberikan tumpuan kepada Bella kerana sememangnya ciri keibuan itu perlu ada. Saya menerima seadanya kehadiran Bella dan ia tidak mendatangkan masalah kepada saya.
"Salah satu kegemaran Bella adalah bermain kereta api di pusat membeli belah dan dia juga gemar bermain permainan di iPad. Biasalah budak-budak zaman sekarang memang terdedah dengan arus teknologi terkini," kata Akim sambil tergelak ketika dihubungi BH PLUS.
Akim turut berkongsi bahawa Bella memanggilnya dengan panggilan 'daddy' dan menerima Stacy seadanya seandainya jodoh antara mereka berpanjangan hingga ke peringkat seterusnya.
Hikayat cinta antara dua selebriti ini bukan lagi rahsia, apabila sang arjuna, Akim membuat pengakuan beberapa minggu lalu secara eksklusif kepada BH Online.
Lalu, peluang bertemu dengan suri hatinya, Stacy baru-baru ini digunakan untuk bertanya sendiri kepada empunya diri mengenai hubungan mereka.
Dalam ukir senyum penuh makna, penyanyi lagu Kisah Dongeng itu mengaku mereka sedang mengenali hati budi masing-masing dan saling menerima antara satu sama lain.
Beliau bagaimanapun sudi bercerita khas untuk pembaca BH PLUS mengenai satu dari rahsia yang membuatkan dirinya berjaya mencuri hati Akim melalui masakan.
"Saya pun tak sangka berjaya menambat hati dia melalui masakan.
"Mulanya bila Akim beritahu dia suka makan pisang raja yang digoreng tanpa tepung dan disapu mentega, saya agak pelik. Dia menggelar masakan tersebut sebagai 'Janda Kelesa Pisang," katanya tertawa.
Beliau berkata, apabila siap, dirinya sendiri menggemari makanan itu dan tidak sangka mampu menyediakannya seperti yang disukai Akim.
"Rasa bangga juga, sebab dia kata lulus dan menyukainya. Saya pun suka," kata juara Akademi Fantasia (AF) musim keenam itu.
Kata Stacy, itulah menu yang kerap diminta oleh cinta hatinya itu setiap kali berpeluang. Malah dia juga pernah meminta Stacy untuk memasak juadah lain seperti Tomyam dan Sup.
Bercerita lanjut, Stacy berkata beliau berharap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk mereka.
Hubungan kedua-dua bintang kelahiran AF itu sudah lama diperkatakan dan mereka hanya mengakuinya beberapa minggu lalu.
Bagi Stacy, segala-galanya diserahkan kepada takdir dalam merencana hubungan antara mereka.
Ditanya mengenai anak angkatnya Beyya, beliau berkata dirinya memang tidak boleh berenggang dan akan membawa buah hatinya itu bersama jika keadaan mengizinkan.
"Memang setiap kali keluar kerja, saya akan selalu ingat Beyya dan akan usaha untuk balik secepat mungkin apabila kerja selesai" katanya.
Beliau turut mengakui sudah ada membuat simpanan khas untuk masa depan pelajaran anak angkatnya itu yang kini berusia 3 tahun.
Stacy dan Akim juga tersenarai sebagai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH 2014, masing-masing dalam kategori Penyanyi Wanita dan Lelaki Popular.
No comments
Post a Comment