KINABATANGAN – Dua beranak maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan lori tangki minyak di Kilometer 103 Jalan Sandakan-Lahad Datu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A.Sahak Rahmat berkata kedua-dua mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Lim Gek Liang, 58, dan anak perempuannya, Lim Sar Yun, 19.
Katanya dalam kejadian 5.05 petang itu, Lim memandu dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu dan sebaik tiba di kawasan Kampung Perpaduan di sini, kenderaan yang dipandu Lim dipercayai masuk ke lorong kanan lalu bertembung dengan lori minyak dari arah bertentangan.
“Mayat kedua-dua beranak yang tersepit di dalam kenderaan dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan,” katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.
Menurutnya, pemandu lori minyak itu yang berusia 43 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan dirawat di Hospital Kinabatangan manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. – BERNAMA
No comments
Post a Comment