KUALA LUMPUR – Pengguna Twitter, Effi Nazrel Saharudin didenda
RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku salah atas dua
pertuduhan menghantar komen jelik menghina Yang di-Pertuan Agong, tahun
lalu.
Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian terhadap Effi Nazrel
yang juga dikenali sebagai 10befiend selepas dia menukar pengakuan
kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula ke atasnya oleh
jurubahasa.
Effi Nazrel selaku Orang Kena Saman (OKS) turut berdepan hukuman
penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Terdahulu, pada 5 Jun lalu, Effi Nazrel didakwa atas dua pertuduhan
menghantar dua komen jelik melalui akaun Twitter miliknya dengan niat
untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kondominium
di Taman Puncak Desa, Kepong di sini, kira-kira jam 11.21 pagi dan 11.23
pagi, pada 1 Jun 2013.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a)
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum
mengikut Subseksyen 233(3) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman
denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya
sekali, jika sabit kesalahan. – Berita Harian
No comments
Post a Comment