HANGZHOU (China) – Polis di sini semalam menahan enam wanita hamil
yang didakwa mencuri 300 pakaian bernilai 100,000 yuan (RM56,000) dari
11 kedai dalam masa tiga jam.
Akhbar Zhejiang News melaporkan, polis menerima laporan mengenai kegiatan wanita berkenaan daripada seorang pembantu kedai.
Rakaman televisyen litar tertutup sebuah kedai menunjukkan dua wanita hamil memasukkan pakaian berkenaan ke dalam beg plastik.
Kamera di kedai lain merakam dua lagi wanita mengandung mengalihkan
pandangan pekerja kedai sementara dua rakan mereka, juga hamil,
memasukkan pakaian ke dalam beg mereka.
Hasil siasatan menunjukkan wanita berkenaan juga menjalankan kegiatan
mereka di beberapa bandar besar lain sebelum pulang Hunan, bandar
tempat tinggal mereka, untuk menjual semula pakaian yang dicuri itu.
Seorang wanita terbabit berkata, mereka berbincang mengenai operasi
mereka ketika bermain mahjong dan yakin tidak akan ditangkap kerana
hamil. – Agensi
No comments
Post a Comment