Tidak ada mana-mana negara di dunia ini selain Palestin yang rakyatnya tidak dibenarkan memanggil nama negara mereka di tanah air mereka sendiri. Ini sahaja menggambarkan penindasan yang dialami oleh rakyat Palestin.
Sebagai manusia yang berhati perut, kekejaman Israel perlu dihentikan. Tetapi bagaimana?
Jika diikutkan hati, kita mahukan tentera dihantar ke sana. Tetapi ini tidak mungkin.
Bagaimana dengan sekatan ekonomi? Malangnya kebanyakan barangan harian kita adalah daripada ekonomi yang ingin disekat.
Kita boleh memboikot barangan syarikat yang menyokong dan membantu kekejaman Rejim Zionis. Ini tidak sama dengan memboikot syarikat yang dimiliki oleh bangsa yahudi. Jika ada syarikat melayu yang membantu kekejaman rejim zionis pun wajib kita boikot. Perkata tuntasnya adalah syarikat ini membiayai, membantu dan menyokong kekejaman Zionis ataupun tidak.
Adakah boikot ini akan memufliskan syarikat tersebut? Jawapannya tidak.
Sama ada syarikat ini rugi atau tidak- Rejim Zionis tetap akan mengganas. Setiap tahun RM9 billion dana diberikan oleh AS kepada Israel. Jika dinisbahkan, setiap rakyat AS membayar RM1500 setahun bagi membiayai operasi ketenteraan Rejim Zionis. Dana ini sahaja sebenarnya sudah cukup untuk menyembelih penduduk Palestin.
Tetapi yang ingin dicapai bukanlah perkara tersebut sebaliknya kita ingin dunia tahu terutama Israel dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat yang kita cukup benci dengan kekejaman Rejim Zionis dan tindakan mereka menyokong kekejaman ini.
Terdapat segelintir yang sinis dengan kempen boikot. Ada yang berkata jika hendak boikot, boikotlah semua barang kerana tidak ada barang yang bukan daripada Israel. Memang benar.
Hakikat bahawa begitu banyak barangan seharian kita bergantung kepada barangan mereka sudah cukup menunjukkan betapa mundurnya negara-negara khususnya negara Islam. Tetapi wajarkah dengan alasan ini kita hanya mendiamkan diri melihat penderitaan di Gaza?
Jika mereka yang sinis ini bebas memperjuangkan hak hubungan sejenis, memperjuangkan pluralism dalam agama dan bermatian-matian mendaulatkan hak asasi manusia, mengapa perlu memperkecilkan usaha sesetengah pihak yang mahu berbuat sesuatu terhadap ketidakadilan ini?
Tidak dinafikan ada perkara dan barangan yang tidak boleh diboikot seperti cip komputer Intel dan enjin pesawat Boeing.
Tetapi begitu susahkah diri kita untuk tidak minum coca cola, menghirup kopi starbucks dan mengunyah burger McD? Atau tidak menyapu muka dengan produk L'Oreal, Estee Lauder, tidak menggunakan komputer Dell,HP dan produk Motorola? Begitu payahkah untuk tidak menyarung pakaian dalam Victoria Secret dan La Senza? Tidak bolehkan untuk tidak menggunakan produk insurans AIG? Bukankah kesemua produk ini mempunyai alternatif?
Memang mustahil untuk setiap orang memboikot kesemua barangan di atas. Ada sesetengah sukar untuk lakukannya atas sebab peribadi dan perniagaan. Bagaimanapun jika 10% memboikot separuh barangan di atas, ia sudah cukup menunjukkan betapa bencinya kita terhadap kekejaman Rejim Zionis.
Tidak dinafikan produk francais seperti McD akan berkata yang rugi daripada boikot ini adalah rakyat kita sendiri. Jualan kurang, silap haribulan pekerja dibuang. Jika begini, bolehkah syarikat-syarikat francais ini menyertai atau melancarkan dana bagi membantu rakyat Palestin? Setidak-tidaknya ini menunjukkan pendirian mereka berbeza walaupun daripada syarikat induk yang sama.
Ada yang berkata tidak perlu boikot, kita patut tambah derma. Tidakkah mereka ini tahu begitu sukar untuk menghantar bantuan masuk ke Gaza? Do these people realise that Israeli blockade of Gaza resulted in the Israeli navy stopping relief vessels in international waters and killing 9 Turkish humanitarian workers?
Untuk pengetahuan mereka yang sinis, awal tahun ini dana persaraan terbesar Netherlands PGGM telah melupuskan kepentingan mereka di dalam 5 bank Israel seperti Bank Hapoalim, Bank Leumi, Bank Mizrahi-Tefahot, the First International Bank of Israel dan Israel Discount Bank. Ini dibuat berdasarkan pencerobohan Israel melanggar artikel 49 Fourth Geneva Convention.
Dan ketika artikel ini ditulis, agensi perlancongan terbesar Germany, TUI telah membatalkan pakej lawatan ke Israel kerana membantah kekejaman Israel.
Mungkin mereka yang sinis ini beranggapan konflik Israel/Palestin adalah kerana agama. Memandangkan mereka liberal, mereka tidak mahu ambil tahu tentang perkara ini. Tetapi hakikatnya konflik ini melangkaui agama.
Terdapat bangsa yahudi, penganut kristian dan rakyat Eropah yang turut tidak bersetuju dengan kezaliman Rejim Zionis.
Nota Kaki:
1- Baca pendedahan oleh John J. Mearsheimer and Stephen M. Walt
di dalam buku "The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy".
2- Untuk mengetahui sejauh mana penglibatan syarikat-syarikat ini dalam kekejaman Zionis, boleh rujuk laporan Hoder Investment Research (HIR).
3- Ambil contoh Dell- mereka membekalkan 50,000 komputer kepada Israel Defense Forces selama tiga tahun sejak 2006. Komputer ini sudah pastilah bukan digunakan untuk bermain Dota atau Footbal Manager.
No comments
Post a Comment