Gambar Hiasan |
Kudat: Tujuh sekeluarga yang baru selesai menghadiri sambutan Pesta Menuai nyaris maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh menghadang jalan di Jalan Dualog, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pemandu Siun Oniting, 51, dan tiga anaknya Fenny Siun, 3, Harfina Siun, 5, Susan Siun, 10, dan dua sepupunya berusia lima dan 38 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Semua mereka ini hanya mengalami luka akibat terkena serpihan kaca dan dirawat di Hospital Kudat, di sini, sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Dawi Ossen berkata, siasatan awal mendapati semua mereka ini menaiki kenderaan Proton Wira dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan pesta menuai.
“Kenderaan yang dipandu oleh Siun dari arah Kampung Dualog menuju ke Kampung Kumbatang selepas menghadiri sambutan Pesta Menuai dan Penyampaian Hadiah di Sekolah Kebangsaan (SK) Dualog, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah jalan sebelum merempuh penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, semua mangsa hanya cedera ringan selepas terkena serpihan kaca.
“Semua mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kudat, di sini.
“Difahamkan, ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kudat, Jasri Ab Jal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Sebuah jentera bomba dengan kekuatan lima anggota bomba bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja penyelamatan.
“Mangsa yang tersepit kemudian berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut,” katanya.
No comments
Post a Comment