Guatemala City: Seorang wanita yang didakwa akan menyambut usia 121 tahun November depan mungkin menjadi manusia paling tua di dunia ketika ini.
Menurut akhbar tempatan Siglo 21, Juana Chox Yac yang berasal dari suku kaum Kaqchikel Maya, dilahirkan pada 29 November 1893 di Santa Lucia Utatlan, di wilayah Solola.
Ketika muda, Juana bekerja sebagai pemetik buah kopi dan menjaga biri-biri sebelum berkahwin pada usia 15 tahun.
Selepas berkahwin selama sembilan tahun, suaminya meninggal dunia. Dua anaknya juga mati beberapa tahun kemudian.
Juana berkahwin sekali lagi pada usia 29 tahun dan melahirkan tujuh anak sebelum menjadi balu sekali lagi pada 1964.
Ketika ini, dia mempunyai 75 ahli keluarga, termasuk anak, cucu, cicit dan piut.
Akhbar itu turut menyiarkan dokumen sijil kelahiran Juana.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada maklumat mengenai wanita itu dikemukakan kepada Rekod Dunia Guinness untuk pengesahan.
Jika disahkan, Juana lebih tua empat tahun berbanding Misao Okawa, wanita Jepun yang berusia 116 tahun pada 5 Mac lalu dan pemegang rasmi rekod untuk wanita paling tua yang masih hidup. - AFP
No comments
Post a Comment