Jika kita dipukul berulang kali serta disimbah dengan air panas tanpa rasa belas kasihan, pastinya kita akan bertindak balas memukul balik pelaku dan paling tidak pun melarikan diri.
Bagaimana pula jika perbuatan sama dilakukan ke atas seorang kanak-kanak berusia baru enam tahun yang tidak mampu membalas balik, sebaliknya hanya mampu merayu.
Bayangkan pula apakah kesakitan yang ditanggung si kecil apabila pelakunya bukan penjenayah tetapi ibu kandung dan bapa tirinya sendiri di dalam rumahnya sendiri yang dirasakan tempat paling selamat baginya.
Itulah derita dan kesakitan yang ditanggung oleh Allahyarham Mohammad Akhil Mustaqim Rashidy, 6, yang didera ibu kandung dan bapa tirinya sendiri tanpa sekelumit pun belas kasihan.
Lebih perit kesakitan dan derita saat pukulan demi pukulan singgah di kulit si kecil terpaksa ditahan sehingga saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Mak, adik tak buat dah.. sakit,” itulah raungan terakhir Mohammad Akhil sebelum pergi selama-selamanya.
Bayangkan apabila panggilan “mak” bukan lagi sebagai mengharapkan kasih sayang tetapi ia adalah panggilan merayu meminta belas supaya si emak berhenti memukulnya.
Menurut sumber yang enggan dikenali, mangsa dibawa ke Hospital Ampang dalam keadaan cedera parah.
“Mana tidaknya, kaki kirinya patah, seluruh badan lebam dan melecur, ada kesan baru dan lama,” katanya memetik laporan akhbar Harian Metro.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata hasil siasatan awal dilakukan pegawai penyiasat mendapati suspek utama kes berkenaan adalah bapa tiri mangsa.
“Ibunya yang berusia 31 tahun dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.
“Sama ada dia diugut ataupun turut dipukul suaminya itu juga menjadi satu aspek siasatan, tetapi sehingga kini kita percaya kita percaya ibu mangsa bersubahat,” katanya.
Sementara itu, jiran Allahyarham Mohammad Akhil yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 40, mangsa dan keluarganya baru berpindah ke kawasan perumahan itu empat bulan lalu.
Sejak berpindah, Maria sering mendengar anak-anak pasangan itu termasuk mangsa menangis akibat dipukul.
“Petang Ahad lalu, saya mendengar suara mangsa meraung kesakitan lebih satu jam akibat dipukul emaknya tanpa henti,” katanya.
Kanak-kanak itu dibawa bapa tiri mangsa ke hospital pada pukul 2 petang semalam sebelum disahkan meninggal dunia selepas empat jam menjalani rawatan.
Bapa tiri mangsa yang ‘durjana’ itu kemudiannya menghilangkan diri selepas menghantar mangsa ke hospital.
Menurut Maria lagi, kakak kepada mangsa yang masih bersekolah rendah turut menjadi mangsa dera oleh ibu bapanya.
Moga pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dihadapakan ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.
No comments
Post a Comment