Pasir Puteh: Seorang bapa bukan saja trauma tetapi menyesal tak sudah apabila anak kesayangannya berusia dua tahun maut selepas digilis jentolak dipandunya di Kilometer 19, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik di Kampung Felcra Teratak Batu, Gaal, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian 3.30 petang, Muhammad Harris Salihin Roemi meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di depan rumah tidak bernombor ketika ayah mangsa mengundurkan jentolaknya selepas membuang pasir.
“Sebaik membuang pasir, ayah mangsa mengundurkan jentolak dipandunya, namun dipercayai tidak perasan anaknya di belakang lalu melanggarnya.
“Ini menyebabkan tayar belakang sebelah kiri jentolak menggilis kepala mangsa,” katanya.
Menurut Mohd Kamal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya menasihatkan keluarga mempunyai anak kecil supaya berwaspada bagi mengelak kejadian seperti ini,” katanya.
Usaha Metro Ahad untuk menemu bual keluarga mangsa, terutama ayahnya gagal kerana dia enggan ditemu bual.
No comments
Post a Comment