Ledang: Sepasang suami isteri yang dilihat penyayang di depan jiran dan keluarga mengambil tindakan nekad apabila membunuh diri dengan meminum racun rumput di rumah mereka di Taman Cempaka, Bukit Gambir di sini, semalam.
Kejadian jam 9 pagi itu menimbulkan tanda tanya berikutan pasangan berkenaan sering dilihat gembira dan tidak menunjukkan tanda berdepan masalah.
Pow Kim Chuan, 49, dan isteri Kang Yen Peng, 45, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, jam 1 tengah hari.
Mereka meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan teruk organ dalaman.
Difahamkan, ketika kejadian, semua tiga anak mangsa iaitu dua perempuan berusia 20-an dan seorang lelaki berusia belasan tahun tiada di rumah kerana keluar bekerja dan bersekolah.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah sebelum terdengar jeritan seorang wanita meminta tolong dari bilik utama rumah pasangan berkenaan.
“Terkejut mendengar jeritan itu, saya segera ke rumah jiran itu sebelum melihat Pow terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu manakala isterinya ditemui terbaring atas katil di bilik utama sambil menahan kesakitan.
“Melihatkan keadaan itu, saya segera menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum mangsa dikejarkan ke HPSF untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, ramai jiran terkejut dengan kejadian itu kerana pasangan berkenaan tidak pernah menunjukkan mereka berdepan masalah.
Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Mohd Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
Menurutnya, mayat pasangan itu dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
No comments
Post a Comment