Klang: Misteri penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung dalam sebuah Proton Wira di tepi jalan di Batu 4 Jalan Meru di sini, semalam terjawab apabila polis mengesahkan kereta berkenaan terbakar selepas mengalami masalah bateri.Mangsa Lim Eng Heng, 33, yang dikenal pasti ahli keluarganya ditemui rentung di tempat duduk pemandu selepas dipercayai sedang tidur ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.38 pagi sebelum anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati terdapat satu mayat rentung dalam kereta itu.
“Keadaan mayat terbakar 80 peratus dan kebakaran itu menyebabkan polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan kenderaan dinaiki didaftarkan atas nama seorang warga tua yang uzur dan tinggal di Banting, malah kenderaan itu juga tidak dilaporkan hilang.
“Bagaimanapun, seorang ahli keluarga mangsa yang datang ke tempat kejadian mengesahkan mangsa anak pemilik kereta berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya tidak menemui sebarang tanda yang boleh mengaitkannya dengan perbuatan jenayah dan kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah bateri.
“Bagaimanapun, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat dan polis akan menunggu laporan hasil bedah siasat nanti.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun jika laporan bedah siasat mengatakan sebaliknya, kita akan membuka kertas siasatan baru,” katanya.
No comments
Post a Comment