Ohio: Mereka masih berpegangan tangan ketika menikmati sarapan walaupun selepas 70 tahun dikahwinkan.
Apabila Helen Felumlee menghembus nafas terakhir pada usia 92 tahun, suaminya mengikuti jejak wanita terbabit kurang dari sehari kemudian.
Anak pasangan itu, Linda Cody berkata, mereka memang dapat merasakan kematian Helen bakal dituruti bapanya tidak lama selepas itu. “Malah, kami memang mahu mereka kekal bercinta sehingga ke nafas yang terakhir.
“Nampaknya memang itulah yang berlaku,” katanya.
Pasangan Kenneth Cody dan Helen Felumlee disatukan sebagai suami isteri ketika mereka masih berusia belasan tahun. Sejak itu, mereka tidak berpisah langsung.
Helen meninggal dunia di hospital selepas mengalami masalah kesihatan berlarutan sebelum ‘diikuti’ Cody kira-kira 15 jam kemudian.
Media semalam melaporkan, walaupun keadaan kesihatan semakin tidak mengizinkan, pasangan itu tetap bahagia bersama.
Ketika Cody mengalami masalah jantung dan kehilangan sebelah kakinya akibat masalah kitaran darah, Helen tetap setia menemaninya di hospital.
Lama-kelamaan Helen juga jatuh sakit dan ditempatkan berhampiran katil Cody di hospital.
Linda berkata, Cody tidak sanggup melihat penderitaan dialami isterinya dan selalu memegang tangan wanita dicintainya itu. Katanya, ketika dikahwinkan di Kentucky Cody berusia 18 tahun dan Helen 19 tahun.
“Namun, kenyataan itu dirahsiakan kerana mereka takut untuk memberitahu ibu bapa masing-masing,” katanya.
Hasil daripada perkongsian hidup, mereka mempunyai lapan orang anak - lima lelaki tiga perempuan - dan Cody terpaksa bekerja keras bagi menyara keluarga.
Dia melakukan tiga tugas dalam satu masa, iaitu pemeriksa kereta api, operator garaj dan posmen.
Helen pula bekerja dengan pertubuhan gereja, mengajar sekolah gereja dan menghantar kad ucapan kepada hampir semua penduduk di kawasan kediaman mereka ketika perayaan dan hari jadi.- Agensi
No comments
Post a Comment