LONDON: Inmarsat dimiliki sebuah syarikat di Britain menggunakan fenomena gelombang yang ditemui pada abad ke-19 bagi melakukan analisis ke atas tujuh `ping' yang dicerap satelitnya daripada MH370 bagi menentukan lokasi terakhir pesawat itu.
Penemuan itu kemudiannya membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 yang dikesan di tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Kesemua `ping' yang dicerap itu dihantar secara automatik setiap sejam selepas sistem komunikasi pesawat tidak lagi berfungsi, yang menunjukkan ia masih lagi terbang beberapa jam selepas hilang daripada radar dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Dalam tempoh isyarat yang dipancarkan ke satelit dan sudut pendakian pesawat, Inmarsat dapat memberikan dua kemungkinan lengkok penerbangan iaitu sama ada ke utara atau selatan.
Menurut jurucakap syarikat itu, saintis Inmarsat kemudian melakukan siasatan terhadap kesemua `ping' berkenaan menggunakan teknik kesan `Doppler', yang akan menjelaskan bagaimana gelombang mengubah frekuensi terhadap `pemerhati' iaitu satelit.
Menurutnya, Badan Siasatan Nahas Udara Britain turut terbabit melakukan analisis terhadap kesemua `ping' berkenaan.
Katanya, contoh kesan `Doppler' paling hampir adalah siren kereta peronda polis yang berubah apabila ia menghampiri atau memintas `pemerhati'
Ketua Komunikasi Korporat Inmarsat pula berkata, Jonathan Sinnatt berkata: “Kami kemudian mengambil data yang diperoleh daripada pesawat dan melakukan `plot' ke atas dua lengkok itu dan hasilnya kami mendapati pesawat itu terbang ke arah selatan.”
Katanya, syarikat itu kemudian melakukan perbandingan antara penerbangan teori pesawat dengan data yang diterima daripada Boeing 777s yang pernah menggunakan laluan sama dan hasilnya memang padan.
Keputusan itu kemudiannya diserahkan kepada satu syarikat satelit lain untuk diperiksa sebelum diberikan kepada penyiasat.
No comments
Post a Comment