Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Kellie's Castle Kian Seram, Roh Sesat Makin Ganas
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


Menyeramkan! Itu saja yang mampu penulis ungkapkan sebaik keluar dari bangunan Kellie’s Castle selepas menyertai pengembaraan menjejaki entiti paranormal menerusi pakej pelancongan malam terbaru ditawarkan kepada orang ramai.
Ia ternyata mencabar keberanian diri selain menjadi pengalaman baru yang unik yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Kellie’s Castle yang dimiliki William Kellie Smith ini antara tarikan pelancongan di Batu Gajah, Perak yang harus dikunjungi.


Daripada rupa bentuknya hinggalah pembinaannya serta penceritaan setiap sudut di istana itu, banyak lagi yang yang akan diperoleh pengunjung saat berkunjung ke sini.

Mengikut sejarah pembinaan istana ini, pemiliknya yang berasal dari bahagian timur laut Scotland membina istana itu bagi kediaman keluarganya dan diberikan nama Kellas House.

Bangunan tiga tingkat itu dibina mengikut rupa bentuk sebuah istana di India dan tukangnya dibawa khas dari Madras. Bangunan unik itu memiliki 14 bilik, sebuah cellar dan terowong rahsia yang mempunyai lif iaitu yang pertama di Tanah Melayu.


Bagaimanapun, pembinaan bangunan Kellas House ini tidak dapat disiapkan apabila Kellie Smith meninggal dunia di Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926 ketika berusia 56 tahun. Sungguhpun Kellas House atau Kellie’s Castle itu hanya seperti bangunan dalam keadaan ‘sedang dibina’, keunikannya kini menjadi salah satu tarikan pengunjung ke Batu Gajah, Perak.

Terbaru, menerusi pelbagai kisah misteri tersimpan di istana yang berusia lebih 100 tahun dibongkar termasuk beberapa bukti kewujudan bunyi aneh, penampakan objek serta pengakuan lisan entiti ditemui.

Pakej Pelancongan Malam Paranormal itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Ini memberi peluang kepada pengunjung merungkai fakta misteri di istana milik William Kellie Smith dalam keadaan gelap, selamat, selesa dan terkawal.

Penulis dan beberapa media dipelawa Tourism Malaysia Perak untuk merasai pengalaman seram itu bersempena Pelancaran Pelancongan Malam Paranormal di Kellie’s Castle, Batu Gajah.

Memulakan pengalaman yang cukup mencabar keberanian diri itu, wakil media dipertontonkan rangkuman video yang menayangkan sedikit sebanyak hasil penemuan sekumpulan pengamal perubatan Islam dikenali sebagai Aura Maarifat, Oktober tahun lalu.

Selepas diberi taklimat berhubung peraturan dan ciri-ciri keselamatan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan terdiri daripada lapan wakil media.

Setiap peserta diberi lampu suluh bagi memudahkan pergerakan dalam keadaan gelap sebelum dibawa ke satu lokasi.

Kami kemudiannya diasingkan di beberapa lokasi ‘panas’ yang dikatakan menjadi lubuk entiti ini termasuk di bilik Helen (anak Kellie’s Smith), bilik Linen (bilik menyimpan pakaian), bilik simpanan arak serta di sekitar laluan serambi yang dikatakan kerap berlaku kemunculan makhluk halus.

Setiap bilik mempunyai kisah misterinya sendiri, namun penulis amat tertarik dengan bilik linen yang dikatakan mempunyai entiti bernama Gopal.

Gopal dipercayai adalah roh salah seorang pekerja Kellie yang masih berada di bilik berkenaan selepas hasratnya ke India tidak ditunai majikannya.

Namun, penulis tidak sempat merasai pengalaman di bilik linen sebaliknya diletak di bilik Helen.

Setiap lokasi diletakkan dua peserta bagi merasai pengalaman menyeramkan dalam tempoh 20 hingga 30 minit. Bagaimanapun, segala tingkah laku dan gerak-geri kami diperhatikan pekerja Kellie’s Castle bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat.

Sepanjang tempoh itu, peserta dibiarkan duduk berdua dengan rakan pilihan masing-masing bagi merasai suasana seram.

Dalam tempoh lima hingga 10 minit di bilik Helen, penulis bersama seorang peserta masih belum merasai apa-apa peristiwa aneh, namun kami dikejutkan dengan bunyi pelik seperti melintas dari luar istana itu.

Kami memandang antara satu sama lain dan ketika itu hanya Tuhan yang tahu perasaan masing-masing.

Namun, perasaan ‘cuak’ itu terhenti apabila rakan penulis mengandaikan bunyi itu hanya seekor kelawar.

Sepanjang di dalam bilik itu, mata penulis langsung tidak berkelip dan hanya menumpukan suasana di keliling.

Pada masa sama, penulis terfikir sejenak jika ada sesuatu yang muncul apa pula perasaan kami ketika itu, namun selepas cukup tempoh 20 minit, kami dibawa keluar.

Ketika sesi berkumpul, pelbagai kisah seram dirungkaikan satu persatu oleh peserta.

Seorang peserta, Nur Farhana Yahaya, 28, berkata, dia terdengar bunyi seperti ada orang berbisik di telinganya ketika di bilik simpanan wain.

“Keadaan di bilik wain memang sunyi kerana ia agak tebal dan kalis bunyi. Ketika saya bercakap de­ngan rakan, seakan-akan ada yang berbisik berhampiran telinga saya.

“Mulanya saya menyang­ka ia kesan gema dari bilik itu, namun apabila beberapa kali ‘dia’ berbisik, bulu roma saya meremang memandang­kan suara itu agak berbeza,” katanya.

Seorang lagi peserta , Diana Barka, 28, mengakui dia ada ternampak bayangan putih di bilik Helen selepas 10 minit.

“Ketika itu mata saya hanya tertumpu pada keadaan sekeliling dan pada waktu itu juga secara tiba ada kelibat seperti orbit putih melintasi laluan di hadapan saya.

“Saya tergamam dan kelu...,” katanya.

Menurutnya, walaupun situasi agak seram, pengalaman di istana itu adalah sesuatu yang berbeza dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Sejurus tamat aktiviti itu, kami dibawa berjumpa seorang ustaz bagi memeriksa diri masing-masing supaya tiada sebarang makhluk halus atau entiti mengekori peserta.

Ternyata perasaan gementar ketika memasuki istana itu akhirnya bertukar menjadi satu kepuasan selepas mengalami pengalaman yang yang agak mustahil diterjemahkan dengan kata-kata.

Perasaan seram, takut, gementar, puas, bercampur-baur sebaik tamat program pakej pelancongan terbaru itu.


Kisah jelmaan tarikan pelancong 

Kisah jelmaan misteri istana lama Kellie’s Castle bukan saja menjadi buah mulut penduduk sekitar, namun menarik perhatian pelancong.

Pengurus Kellie’s Castle, Zamari Muhyi berkata, kekuatan istana berusia lebih 100 tahun itu bukan saja pada elemen sejarahnya tetapi kisah mistik.

“Pakej itu bukan saja memberi peluang pe­ngunjung menying­kap segala persoalan kisah misteri istana itu, malah mampu merasai pengalaman seram di tempat yang dikatakan berpenghuni ini.

“Hasil pengalaman dan beberapa bukti yang dirungkaikan sebelum ini memberikan saya inspirasi mengangkat Kellie’s Castle sebagai pusat pelancongan malam pertama di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pakej itu terbuka kepada lima kumpulan terdiri daripada lapan individu dan hanya dibuka empat kali sebulan iaitu Jumaat dan Sabtu setiap minggu pertama dan keempat.

Katanya, pakej yang berharga RM80 seorang itu bakal meliputi pakej ­lawatan, minum malam, tayangan video, kemeja-T percuma, serta sijil penyertaan dan pendaftaran hanya dibuka melalui tempahan.

“Saya tidak menggunakan nama hantu untuk menakutkan orang ramai atau memesongkan akidah sebaliknya mahu pelancong merasai dan merungkai misteri di sini,” katanya.

Menurutnya, program itu mendapat tempahan awal sebanyak 30 orang untuk lawatan akhir bulan ini, bagaimanapun hanya dihadkan kepada 40 individu setiap malam.

Hubungi 05-3653381 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, ­Pengarah Tourism ­Malaysia ­Perak, Ibrahim Seddiqi Talib berkata, pakej terbaru itu diwujud­kan selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Menurutnya, kisah sejarah Kellie’s Castle yang sinonim dengan cerita seram itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia Perak.

“Saya difahamkan, pakej ini mendapat permintaan tinggi dari pelancong Singapura dan beberapa negara luar.

“Saya yakin jika aktiviti dan pakej sebegini diteruskan, Malaysia khususnya di negeri Perak akan menjadi tumpuan pelancongan asing.

“Ia sekali gus mencapai sasaran jumlah pelancong sempena TMM 2014,” ­katanya.

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments