Bangkok: Seorang guru wanita mati ditembak di selatan Thai sebelum mayatnya dibakar dalam kejadian serangan terbaru terhadap golongan pendidik.
Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 42 tahun sedang menaiki motosikal ke tempat kerja di sebuah sekolah rendah di Mayo, Pattani ketika kejadian.
“Lelaki bersenjata menembaknya dan membakar mayatnya,” kata jurucakap berkenaan.
Mangsa adalah guru ke-171 yang maut dalam konflik di selatan Thai. Lebih 5,900 orang mati sejak konflik bermula sedekad lalu. Kebanyakan mangsa orang awam.
Serangan berlaku hampir setiap hari termasuk letupan bom selain ada juga mangsa dipancung. Golongan guru antara paling ramai menjadi sasaran kerana dianggap bekerjasama dengan kerajaan Thai.
Menurut pakar, kejadian serangan semakin meningkat sejak kebelakangan ini mungkin disebabkan rundingan damai terpaksa ditangguhkan apabila kerajaan Thai berdepan tentangan dan tunjuk perasaan di Bangkok.- AFP
No comments
Post a Comment