Walaupun diklasifikasikan sebagai filem untuk tontonan 18 tahun ke atas, filem pertama garapan Murali Abdullah ini memaparkan mengenai kepentingan maruah diri seorang wanita dan pentingnya bergelar ‘anak dara’ sebelum berkahwin.
Filem yang diterajui oleh Azad Jasmin, Shafnida Syuhaimi, Julia Perez, Razali Hussain, Faizal Hussein, Zarina Zainoordin, Khairil Anuar, dan ramai lagi ini mengisahkan Zaty, pelajar sebuah kolej yang fobia untuk berkahwin.
Dia percaya dia akan mati ketika melahirkan anak akibat sumpahan terhadap keluarganya selepas moyang Zaty pernah membuat perjanjian dengan saka. Mengikut kepercayaan keluarganya, saka berkenaan akan ‘mengambil nyawa’ ahli keluarga wanita sebaik saja mereka melahirkan anak pertama.
Sementara itu, Asraf pelajar di kolej sama baru pulang ke Malaysia selepas beberapa tahun berada di Indonesia. Ayahnya, Haji Kamaruddin pula ingin melihat dia berkahwin dengan seorang dara.
Walaupun Asraf kurang bersetuju dengan syarat ayahnya itu, dia tidak pula membantah. Suatu hari, rakan baiknya di kolej, Angah membuat hipnosis ke atas Zaty dan mendapat tahu gadis itu masih lagi dara.
Lalu, Asraf yang sudah ada teman wanita di Indonesia bernama Maria cuba memikat Zaty. Hidup Maria yang sosial menyebabkan Asraf tidak menyukainya apatah lagi untuk dijadikan isteri.
Zaty bersetuju berkahwin dengan Asraf, namun cuba mengelak untuk mendampingi Asraf hingga memberikan suaminya minum ubat bagi melemah syahwat. Namun tidak lama selepas itu, Zaty tetap mengandung lalu dia menjadi fobia untuk melahirkan anak.
Bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang menarik, Murali juga menggarap filem ini dengan penuh rencah; ada suka, duka, ketawa dan tangis yang diadunkan bersama.
Karya bersahaja
Pada pandangan penulis, apa yang pasti, filem ini mempunyai mesej yang cukup berguna buat remaja hari ini, lebih-lebih lagi masalah sosial menjadi satu isu yang cukup mendapat perhatian masyarakat.
Apatah lagi, Murali juga turut menyelitkan situasi sebenarnya yang dilalui oleh remaja ketika ini dan sesetengah remaja lelaki atau perempuan yang tidak pernah mengambil pusing mengenai soal dara sebelum berkahwin.
Bahkan bukan sahaja untuk golongan yang belum berkahwin, filem ini juga cukup sesuai ditonton untuk mereka yang sudah berkahwin bagi mengambil iktibar mengenai alam perkahwinan.
Gandingan adik dan abang ipar
Antara lain yang menarik mengenai filem ini adalah gandingan pertama abang ipar bersama adik iparnya iaitu Azad Jasmin dan Shafnida Syuhaimi bersama aktres kontroversi dari Indonesia, Julia Perez.
Biarpun mereka bertiga pertama kali digandingkan, namun ia tidak sedikit pun melihatkan kejanggalan, bahkan Shafnida sendiri berjaya lari daripada imej kakaknya, Eira Syazira.
Kewibawaan Azad juga tidak perlu dipertikaikan lagi. Biarpun belum mendapat sebarang pengiktirafan, namun ia bukan penghalang buat Azad memberi yang terbaik.
Pendek kata, berikan apa sahaja watak kepada Azad, dia pasti tidak akan mengecewakan penonton apatah lagi pengarah.
Manakala lakonan Julia pula tidak kurang hebatnya. Dia tidak dilihat terlalu cuba menonjol, sebaliknya membawa wataknya itu dengan gaya yang tersendiri.
Jadi bagi anda yang masih belum menonton filem Fobia Malam Pertama, jangan lepaskan peluang menonton filem ini di pawagam berdekatan anda.
No comments
Post a Comment