ALOR GAJAH – Seorang lelaki yang menyerang anggota polis dengan senjata tajam mati ditembak di Machap Umboo, Durian Tunggal di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt
Mohamad Laham berkata lelaki yang berumur 37 tahun itu meninggal semasa
dibedah untuk merawat kecederaannya di Hospital Melaka.
Beliau berkata pihak polis pada mulanya
menerima panggilan daripada jiran suspek pada pukul 3.00 petang semalam
memberitahu suspek telah datang ke rumahnya dengan bersenjatakan pisau
dan mengugut mahu mencederakannya.
“Sepasukan polis lalu dihantar ke lokasi
kejadian namun suspek telah mengurung diri di dalam rumahnya. Anggota
polis telah ditempatkan di kawasan rumah suspek bagi mengawasinya,”
katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di
sini hari ini.
Beliau berkata pada pukul 9 malam,
suspek telah keluar daripada rumahnya dengan memegang senjata tajam di
kedua-dua belah tangan dan melibaskan senjata itu kepada orang awam dan anggota polis.
Mohamad berkata lelaki itu kemudiannya menaiki motosikal dan lari bersembunyi di sebuah kebun kelapa sawit di kawasan berhampiran.
“Pihak polis cuba
memujuk mangsa untuk menyerah diri selama kira-kira 10 minit dan pada
pukul 9.30 malam, suspek tiba-tiba meluru keluar lalu cuba menyerang
anggota polis.
“Untuk mempertahankan diri, anggota
polis terpaksa melepaskan sedas tembakan ke arah suspek mengakibatkan
suspek rebah ke tanah,” katanya.
Dipercayai suspek mahu mencederakan jirannya kerana marah jirannya itu pernah mengintai isterinya mandi. – BERNAMA
No comments
Post a Comment