China – Bukan mudah untuk menjadi model di China. Ini kerana ukuran badan akan diambil setiap minggu dan jika terdapat banyak `lemak’ di paha, maka model tersebut hanya boleh makan telur rebus sahaja selama 10 hari.
Jika gagal menurunkan berat badan, maka agensi modeling itu akan menggugurkan nama model tersebut dalam peragaan pakaian.
Perkara itu didedahkan oleh Meredith Hattam yang menulis mengenai latihan keras untuk menjadi model di China, dalam blognya, Fashionista.
Menurut Hattam, sepanjang beberapa tahun di China, ukuran badannya diambil setiap hari Isnin oleh agensi dan jika sukatan pinggan, punggung dan paha melebihi 3 sentimeter, maka dia boleh dibuang dan dihantar pulang ke negara asalnya di Amerika Syarikat.
Peraturan ketat ini juga dilaksanakan ke atas model seawal usia 14 tahun dan mereka akan dihalau keluar daripada apartmen yang disediakan agensi jika pinggul atau dada mereka membesar, selaras dengan usia baligh.
Hattam turut mendedahkan bagaimana dia terpaksa berlapar bagi memastikan fizikalnya sebagai model tidak berubah.
Dia juga menceritakan bagaimana dia dan 12 orang model yang lain tinggal dalam sebuah apartment yang kecil namun mereka terpaksa membayar sebanyak £300 sebulan.
“Saya tidak mempunyai tilam pun untuk tidur, hanya kerusi panjang. Apabila model mendapat duit ketika membuat peragaan, 40 peratus daripadanya akan diambil oleh agensi, manakala selebihnya digunakan untuk kehidupan harian.
“Apabila kami meninggalkan China, kami tidak mempunyai simpanan,’’ katanya.
Hattam turut memberitahu, salah seorang daripada model daripada agensinya terpaksa dimasukkan ke hospital akibat keletihan kerana terpaksa bekerja 15 jam sehari dalam tempoh dua bulan.
“Ketika berada di hospital, dia menerima pesanan daripada agensi yang menyatakan mereka mengalami kerugian disebabkan dia tidak boleh membuat peragaan.
“Selain itu, kadar bunuh diri di kalangan model juga tinggi termasuk seorang model berusia 22 tahun dari Brazil yang terjun dari bangunan pada tahun baru,’’ katanya.
Hattam kini telah berhenti daripada menjadi model dan kembali ke Amerika Syarikat, dan bekerja sebagai pereka grafik.
No comments
Post a Comment