Santiago – Seorang remaja Chile cuba menjual anak dalam kandungannya di Facebook dengan hanya £68 (RM371) kata polis semalam.
Remaja terbabit dikenali sebagai
Veronica Carrera Chaparro, 18 ditangkap bersama ibu dan kakaknya yang
disyaki bersekongkol untuk menjual bayi berkenaan.
Ketua Polis Santiago, Miguel Ampuero berkata, Veronica menyedari dia hamil pada Februari tahun lalu.
“Ketika itu kandungan Veronica berusia
dua bulan,” katanya. Keadaan itu dimaklumkan kepada teman lelaki
Veronica yang berusia 17 tahun dan berjanji untuk merahsiakan kehamilan
berkenaan.
Namun, kata Ampuero, Veronica
mendedahkan keadaan itu kepada keluarganya. Mendengar berita itu ibu
Veronica, Angela, 42, dan kakaknya Daniela Perez, 24, memberi tiga
pilihan kepada remaja terbabit – sama ada ada menjual anaknya apabila
lahir, menggugurkan kandungan atau memberikan bayi berkenaan kepada
keluarga angkat.
“Selepas Veronica mengiklankan anaknya
yang bakal lahir itu di Facebook, ia mendapat reaksi serta-merta
daripada sepasang suami isteri dari bandar Concepcion tetapi mereka
gagal mencapai kata sepakat,” katanya. Sebuah keluarga dari Puente Alto
di Santiago juga menghubungi Veronica dan menawarkan bayaran bernilai
RM3,770 untuk urusan pendaftaran bayi berkenaan nanti.
Veronica kemudian bersalin pada 4
November lalu dan menyerahkan bayinya sehari kemudian tetapi pasangan
terbabit didakwa tidak mengotakan janji apabila hanya membayar wang
dalam jumlah lebih rendah daripada sepatutnya.
Kejadian itu kemudian diketahui polis
mendorong pihak berkuasa menahan Veronica, ibu serta kakaknya atas
dakwaan menjual bayi. Pasangan yang membeli anak Veronica itu juga
ditangkap. Mereka dibicarakan di mahkamah semalam. – AFP
No comments
Post a Comment