Debaran Anugerah Juara Lagu yang ke-28
(AJL28) kian terasa. Dan sudah pasti persembahan daripada pasangan
kolaborasi dua pemuzik berbakat besar, Noh Salleh dan Aizat menerusi
lagu taruhan mereka, In Love With You, antara persembahan yang
dinanti-nanti ramai.
Bertemu Noh pada sidang media AJL28
semalam, vokalis kumpulan Hujan ini berkata, saat ini hatinya lebih
teruja dengan perancangannya menunaikan umrah pada 27 Januari ini
berbanding mahu beraksi di pentas AJL28 iaitu sehari sebelum dia
berangkat ke Tanah Suci Mekah.
Malahan akui Noh, dia pernah terfikir mahu
menarik diri daripada pertandingan tersebut. Keputusan berkenaan dibuat
ketika dia dan isterinya, penyanyi Mizz Nina sudah mendapat tarikh
penerbangan mereka ke Mekah namun pada waktu itu tarikh AJL28 masih
belum diumumkan.
Sebaik tarikh AJL28 diumumkan, dia melupakan hasratnya itu lantaran tarikh penerbangannya juga berjaya diubah ke tarikh lain.
“Sepatutnya saya pergi umrah pada 20
haribulan. Dan sebetulnya saya ada terfikir nak tarikh diri daripada
AJL, lagipun pada masa itu pihak TV3 belum umumkan lagi tarikh final.
Jadi sebab tu saya buat keputusan nak tarik diri. Terpulang pada Aizat
samada dia nak teruskan atau tak. Kalau nak teruskan, terpulang pada dia
untuk cari pengganti saya.
“Tapi tarikh umrah kami berjaya diubah dan
kebetulan tarikh kami berangkat adalah sehari selepas AJL. Tapi kalau
ikutkan sebenarnya saya dah tak fikir sangat dengan AJL ni sebab hati
saya lebih teruja dengan umrah”, katanya ketika ditemui sejurus usai
sidang media yang diadakan di Hotel Empire, Subang.
Ini merupakan kali keempat Noh bakal
menunaikan umrah. Apa yang lebih isimewa kali ini, dia bukan saja pergi
bersama isteri tercinta bahkan buat pertama kali dia pergi bersama ibu
bapanya dan juga turut disertai oleh kedua-dua mertuanya.
Tambah suami kepada ratu Hip Hop tanah ini
lagi, disebabkan itu juga dia tidak terlalu memikirkan soal bagaimana
corak persembahan mereka pada malam anugerah itu nanti. Begitupun dia
dan Aizat tetap menjanjikan sebuah persembahan yang terbaik.
“Ini kali ketiga saya di pentas AJL tapi
kali pertama sebagai solo. Saya akui yang saya stress sebenarnya dengan
Aizat. Iyalah, sebab tahun lalu dia juara dan tahun ini saya membuat
persembahan bersama bekas Juara. Pasti ramai yang menjangkakann sesuatu
daripada kami.
“Tentang persiapan, saya releks jer.
Mulanya kami buntu juga bila pihak TV3 beritahu tentang konsep tahun
ini. Tapi kami tak fikir sangat soal itu. Kami anggap ia peluang untuk
kami buat persembahan. Kami tak letak harapan apa-apa. Malam tu nanti
kami hanya nak berikan yang terbaik dan berseronok sepanjang membuat
persembahan di pentas yang berprestij. Kami akan buat yang terbaik”,
ujarnya.
Hormat Keputusan Noh
Sementara itu Aizat yang juga ditemui pada
sidang media berkenaan berkata dia menghormati keputusan awal Noh yang
mahu menarik diri. Namun dia bersykur dan berasa bertuah kerana dapat
membuat persembahan dengan idolanya di pentas berprestij AJL28 yang
bakal berlangsung pada 26 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
“Saya hormat keputusan Noh sebelum ni (nak
tarik diri). Tapi akhirnya kami dapat juga membuat persembahan bersama.
Saya rasa bertuah sebab selama ni saya membesar dengan lagu-lagu
nyanyian Noh. Dia idola saya. Dan ini juga kolaborasi saya yang pertama
layak ke AJL. Saya sangat teruja.
“Dari segi persiapan untuk persembahan,
kami tak fikirkan sangat. Semua orang pasti nak menang. Tapi kami tak
nak terlalu tertekan jadi kami hanya nak berseronok dan berikan yang
terbaik pada malam tu nanti”, katanya.
Lagu In Love With You nukilan Noh sendiri
bakal berentap dengan 11 lagi lagu iaitu Aku Pelat (Salammusik), Takkan
Terpisah (Black), Hanya Aku (Hype Act), Bosan (Stacy), Bahagiamu
Deritaku (Hafiz), Penglipur Lara (Hazama & The Penglipurlara), Ikut
Rentakku (Jaclyn Victor), Sahabat (Najwa Latif feat. Sleeq &
Syamkamarul, Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Kau Yang Terindah
(Alyah) Kalau Aku Kaya (Awi Rafael & Altimet) bagi merebut gelaran
Juara Lagu.
Noh dan Aizat akan membuat persembahan pada
giliran yang ketiga. Bertemakan ‘Game On’, acara gilang-gemilang AJL28
juga akan disiarkan secara langsung di TV3, jam 9 malam. – Malaysian Digest
No comments
Post a Comment