Aktres yang mula dicungkil bakatnya
menerusi filem ‘Castello’, Liyana Jasmay, 25, menyatakan kerisauannya
kerana berat badannya tidak bertambah walaupun dia sedang hamil 14
minggu hasil perkahwinannya dengan Fathuddin Mazlan pada 2 Februari yang
lalu.
“Kini kandungan saya telah memasuki usia
14 minggu dan saya risau kerana berat badan saya tidak bertambah dengan
banyak.
Bertambah pun cuma satu atau dua kilogram sahaja. Sebelum ini,
semasa kakak saya hamil, saya nampak pertambahan berat badannya dengan
ketara. Namun begitu, saya telah berjumpa dengan doktor dan dia berpesan
supaya saya jangan risau kerana apa yang penting sekali ialah kandungan
saya membesar dengan sihat,” jelas Liyana ketika ditemui di majlis
pelancaran lagu runut bunyi filem ‘Papadom 2′ di Red Box Sogo, Kuala
Lumpur.
Dalam pada itu, Liyana juga menceritakan yang kini dia mengalami alahan terhadap beberapa jenis makanan.
“Sebelum ini saya seorang yang kuat
makan nasi, tapi sekarang kalau saya makan nasi dengan kuantiti yang
banyak, saya akan muntah. Jadi, kadang-kadang jika saya teringin, saya
akan mengambil nasi tapi dalam kuantiti yang sangat sedikit. Baru-baru
ini pun saya muntah apabila saya makan cekodok,” cerita Liyana lagi.
Selain itu, Liyana juga juga akan
memperlahankan aktiviti lakonannya sepanjang kehamilan. Dia akan fokus
kepada beberapa promosi filem lakonannya yang bakal ditayangkan dan
Liyana akan menguruskan beberapa kerja belakang tabir untuk penerbitan
drama-drama di bawah produksi miliknya iaitu Mermaid Studios.
Dalam perkembangan lain, Liyana juga bakal memasuki studio rakaman untuk merakamkan beberapa buah lagu untuk album terbarunya.
“Saya suka menyanyi. Jadi saya akan buat
album seterusnya. Kali ini album itu akan memuatkan lagu-lagu yang
pernah saya nyanyikan untuk beberapa buah drama. Mungkin saya akan
merakamkan sebanyak dua buah lagu sebulan, tapi semuanya bergantung
kepada keadaan. Saya juga berminat untuk merakamkan satu lagu khas untuk
anak saya kelak,” ujar Liyana mengakhiri perbualan. – gua.com.my
No comments
Post a Comment