MANILA - Anggota-anggota penyelamat bertungkus-lumus semalam untuk membantu mangsa yang terselamat dalam taufan terkuat dan paling dahsyat pernah melanda Filipina.
Taufan Haiyan yang membadai tengah negara itu meranapkan bandar-bandar dan mencetuskan ombak tsunami setinggi lebih lima meter di pantai Pulau Leyte dan Samar.
Presiden Benigno Aquino berkata, beliau bimbang dengan laporan kematian yang mencecah 10,000 orang tetapi menambah, bilangan tersebut bukan angka rasmi.
Menurut beberapa pegawai polis dan bantuan bencana, angka korban rasmi akibat Taufan Haiyan setakat semalam berjumlah 552 orang.
"Keutamaan kami buat masa ini adalah untuk menguruskan kebajikan mangsa yang terselamat dan mereka yang cedera," kata Aquino.
Taufan Haiyan menyebabkan bekalan elektrik terputus, lapangan terbang rosak dan jalan raya tertimbus apabila ia melanda tengah dan timur Filipina sekali gus menyukarkan perjalanan pasukan penyelamat.
Huru-hara dan kes kecurian berleluasa di ibu negeri wilayah Leyte Bandar Raya Tacloban apabila penduduk memecah masuk ke dalam pusat beli-belah, pasar raya dan kedai untuk mencari makanan, ubat dan bekalan lain.
"Tacloban kini huru-hara," ujar Presiden berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap agensi pengurusan bencana negara, Reynaldo Balido memberitahu, lebih empat juta orang terjejas akibat bencana itu termasuk 800,000 penduduk yang hilang tempat tinggal.
Antara kematian yang berlaku termasuk 300 orang yang lemas di bandar Basey, dalam wilayah Samar
Selain Samar dan Leyte, kematian turut dilaporkan di wilayah Iloilo, Capiz, Cebu, Palawan, Masbate, Aklan, Surigao del Sur dan Bandar Raya Zamboanga.
No comments
Post a Comment