GAZA - Sejumlah kanak-kanak dan penduduk Palestin terpaksa berjalan di sebuah kawasan yang dilanda banjir air kumbahan di tengah bandar ini semalam.
Banjir itu berlaku selepas salah sebuah pusat rawatan air kumbahan milik Palestin terpaksa ditutup ekoran kekurangan minyak bagi digunakan untuk menjana tenaga elektrik.
Menurut beberapa pegawai, air kumbahan itu mungkin memasuki rumah-rumah milik ratusan ribu penduduk Palestin di bandar Gaza.
Kekurangan minyak itu berlaku disebabkan kerajaan Mesir bertindak memerangi terowong-terowong penyeludupan penduduk di sempadan Gaza.
"Ia merupakan permulaan bencana melainkan dunia mendengar rintihan kami. Bencana besar mungkin melanda Gaza dan penduduknya," kata seorang pegawai perbandaran Gaza, Sa'ad El-Deen Al-Tbash.
Sejumlah orang menutup hidung semasa berjalan kerana air tersebut berbau busuk.
Pemerintah Mesir menutup kira-kira 1,200 terowong yang dikendalikan pergerakan Hamas bagi menghalang penyeludupan masuk minyak.
Sekatan itu menyebabkan penduduk Palestin terpaksa membeli minyak petrol dari Israel pada harga dua kali lebih tinggi.
Pemerintah tentera Mesir berasa bimbang jika terowong itu digunakan untuk membawa masuk senjata api ke Semenanjung Sinai.
Dalam pada itu, beberapa jet pejuang tentera Israel melancarkan dua serangan di Genting Gaza selepas para pejuang Palestin melepaskan tembakan mortar dan roket ke wilayah penduduk Yahudi tersebut.
Pihak tentera Israel mengesahkan jet-jet itu melancarkan sera- ngan ke lokasi yang menyembunyikan pelancar roket milik para pejuang Palestin. - Agensi
No comments
Post a Comment