Singapura: Lima lelaki tempatan ditahan atas dakwaan menceroboh laman web Presiden dan Perdana Menteri Singapura ketika beberapa serangan siber melanda republik itu.
Dalam satu kenyataan, polis berkata, penceroboh mengeksploitasi kelemahan dua laman web untuk memaparkan laman daripada sumber lain minggu lalu. Satu laman kecil web Istana, kediaman rasmi Presiden Tony Tan, diceroboh dan memaparkan imej kurang sopan awal Jumaat lalu.
Ia berlaku sejam selepas laman web Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, memaparkan mesej mempersenda pihak berkuasa oleh kumpulan penggodam antarabangsa, Anonymous.
Polis berkata, lima suspek adalah lelaki tempatan berusia antara 17 dan 45 tahun.
Seorang lagi ialah James Raj, 35, didakwa awal semalam atas tuduhan menceroboh laman web majlis tempatan dan menyiarkan imej topeng Guy Fawkes, simbol antarabangsa Anonymous.
Raj didakwa menceroboh laman wevb majlis tempatan Ang Mo Kio, daerah yang diwakili sepasukan ahli Parlimen yang diketuai Perdana Menteri, pada 28 Oktober lalu, dan menyiarkan imej itu.
Pencerobohan berlaku tiga hari sebelum jurucakap Anonymous mengemukakan tuntutan dalam video supaya Singapura membatalkan undang-undang memerlukan laman web baru mendapatkan lesen tahunan.
Peraturan baru pelesenan internet dikuatkuasa Jun lalu dan menaikkan kemarahan blogger dan aktivis yang berkata ia bertujuan menyekat kebebasan bersuara.
Ceroboh blog wartawan
Singapura mengawal ketat media tempatan tetapi menegaskan undang-undang baru ini tidak menjejaskan kebebasan internet.
Kertas pendakwaan menyatakan, kejadian tiada kaitan secara langsung antara Anonymous dan Raj, yang juga berdepan dakwaan salah guna dadah.
Menurut kertas pendakwaan, Raj memperkenal dirinya sebagai The Messiah dan melakukan pencerobohan itu dari pangsapuri di Kuala Lumpur.
Nama samaran sama digunakan oleh seseorang yang menceroboh blog seorang wartawan di laman web akhbar Straits Times pada 1 November lalu.
Raj juga dituduh menyiarkan sepanduk di laman web perbandaran itu yang berkata salah seorang anggota Parlimennya menyerahkan surat peletakan jawatan.
Beliau berdepan denda maksimum S$10,000 (RM25,572) dan dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Peguam Raj, M Ravi, membantah penahanan berterusan anak guamnya dan satu lagi perbicaraan dijadualkan lewat semalam.
Polis berkata, Raj juga dikaitkan dengan siri kejadian menggodam komputer, termasuk menceroboh laman web kumpulan kebajikan yang ada hubungan dengan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat. AFP
No comments
Post a Comment