BERMULA dengan isu melakukan tindik lidah sehingga mengundang kritikan ramai, kemudian dirinya dikatakan pula seorang lesbian dan mempunyai hubungan cinta dengan pengkid serta dituduh menyimpan peralatan seks.
Terkini, kontroversi mengenai tindakannya menghamburkan kata-kata kesat di laman sosial Instagram miliknya gara-gara tidak berpuas hati dengan kelakuan seorang individu yang meminta gambar bogelnya hangat diperkatakan.
Itulah rentetan kontroversi yang melanda pelakon Tanda Putera, Ika Nabella sepanjang bergelar artis setelah tersingkir daripada Akademi Fantasia 6 (AF 6) dahulu. Ironinya, ada pihak yang beranggapan namanya popular gara-gara isu sensasi berbanding kisah kerjayanya.
Melihat tepat ke arah anak matanya semasa ditemu bual kelihatan sekelumit kekecewaan yang seperti terpendam di hatinya, Ika meluahkan segala kontroversi yang berbangkit bukanlah atas kehendak dirinya sendiri.
“Saya menceburkan diri dalam dunia seni kerana minat yang mendalam, malah saya lebih gemar bercerita tentang kerjaya berbanding memperkatakan tentang isu-isu peribadi.
“Bagaimanapun, saya sedar dan akur bahawa inilah realitinya apabila menjadi seorang artis. Cuma, saya tidak pernah mencari kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan segera,” ungkap pelakon berusia 24 tahun itu.
Ditanya mengenai pandangannya terhadap pelbagai kontroversi yang sering melanda dirinya itu, pelakon itu memberitahu ia boleh dijadikan sebagai pengajaran paling berguna supaya kesilapan sama tidak berulang.
Ujar Ika, pada masa akan datang dia enggan lagi terlalu cepat melatah apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang melanda dan perlu menanganinya dengan lebih bijak supaya peminat tidak skeptikal terhadap dirinya.
“Permasalahan yang timbul sebelum ini seperti meluahkan kata-kata kesat di Instagram, semuanya berpunca daripada situasi tekanan yang dialami sehingga tidak memikirkan dahulu impak yang akan diterima.
“Jadi, saya perlu sentiasa bersikap positif dan lebih terbuka selepas ini dengan tidak melakukan tindakan terburu-buru supaya tidak dikecam hebat. Saya sekadar berharap perkara yang pernah terjadi itu tidak akan berulang kembali,” ujarnya.
Menyatakan dirinya sedia ditegur sekiranya melakukan sebarang kesalahan, tetapi Ika meminta supaya tidak ada pihak yang suka menghakimi seseorang individu itu sebelum mengenali dengan lebih rapat.
“Kalau hendak memberi teguran sekalipun biarlah dengan cara yang lebih berhemah dan bukan sekadar melemparkan tuduhan tidak berasas. Saya anggap sebarang teguran itu boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki diri sendiri,” tegasnya.
Biarpun sering terpalit dengan kontroversi, pelakon itu menyatakan ia langsung tidak menjejaskan kariernya sebagai pelakon serta hubungan dengan ahli keluarga yang lain kerana mereka lebih mengenali dirinya yang sebenar.
Berlakon
Menceritakan tentang perkembangan kerjayanya pula, Ika memberitahu rezekinya sekarang ini lebih berpihak kepada lakonan, meskipun tidak pernah melupakan bidang nyanyian.
Ujarnya, setelah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, dia lebih kerap berlakon dalam drama bersiri dan telemovie, manakala nyanyian pula agak kurang dan hanya pada acara-acara tertentu sahaja.
“Tidak dinafikan kemunculan saya lebih banyak di kaca televisyen berbanding di layar perak. Tawaran berlakon filem itu banyak juga yang diterima, tetapi biasanya ia akan bertembung dengan jadual lain.
“Apa pun saya tidak kisah sangat dan tetap bersyukur kerana rezeki dalam lakonan masih terbuka luas. Dengan pelbagai tawaran yang diterima membuktikan masih ramai pengarah dan penerbit yang memberikan kepercayaan kepada saya,” ujarnya yang baru sahaja muncul dalam filem Tanda Putera pada Ogos lalu.
Berkenaan dengan aktiviti seninya sekarang, pelakon itu memberitahu dia bakal tampil dalam sebuah drama bersiri berjudul Seindah Sabarmu yang mula disiarkan di TV9 sejak 15 Oktober lalu.
“Anissa merupakan rakan baik kepada Fiqa yang dibawakan Nad Zainal, tetapi konflik antara kedua-duanya mula timbul apabila mereka mencintai lelaki yang sama sehingga Anissa melakukan perkara yang di luar batasan,” ujarnya.
Selain Ika dan Nad, pelakon yang turut membintangi drama bersiri sepanjang 14 episod itu antaranya ialah Shah Iskandar, Shahronizam dan Hanis Kamal.
Usaha lebih
Seperti yang telah diketahui umum, pembabitan Ika dalam AF 6 pada tahun 2008 tidak berpanjangan apabila dia menjadi peserta yang kedua terkeluar, sekali gus gagal merebut gelaran juara.
Namun begitu, dia dilihat antara peserta yang agak bertuah kerana masih lagi mampu bertahan, tidak seperti kebanyakan peserta lain yang terus tenggelam daripada arus perdana hiburan.
“Kalau diikutkan memang agak sukar untuk meneruskan karier dalam seni pada peringkat awal, tetapi yang paling utama kena berusaha dengan lebih gigih lagi sekiranya ingin menggapai impian yang terpendam sejak sekian lama.
“Walaupun tersingkir awal semasa AF 6 dahulu, tidak bermakna impian tidak boleh digapai. Yang penting, seseorang itu harus bijak mencari peluang yang ada serta tidak mudah berputus asa,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada dia mengikuti perkembangan AF 2013 yang sedang rancak berlangsung ketika ini, Ika memberitahu sekiranya ada kelapangan dia akan menontonnya di rumah.
“Dengan perubahan konsep yang dilakukan saya dapati persaingan kali ini lebih sukar dan mencabar buat para peserta. Selain itu, mereka perlu lebih kreatif terutamanya untuk menarik lebih banyak undian daripada penonton.
“Kepada peserta yang sudah tersingkir pula, jangan terlalu cepat patah semangat kerana ia tidak bermakna hasrat untuk mengejar impian menjadi seorang artis sudah berakhir,” ujarnya.
No comments
Post a Comment