SEORANG pelajar sekolah di Pakistan yang pernah ditembak di kepala
oleh puak militan Taliban kerana memperjuangkan hak asasi wanita untuk
mendapat pendidikan sempurna mendedahkan beliau berhasrat untuk satu
hari nanti menjadi Perdana Menteri negara itu.
Malala Yousafzai, kini menjadi sasaran kumpulan pemberontak Islam itu
kerana aktif memperjuangkan hak untuk wanita mendapat pendidikan
sempurna turut dikatakan sebagai pilihan untuk menerima Anugerah Nobel
Keamanan minggu ini.
Bercakap selepas menerima Anugerah Sakharov gadis berusia 16 tahun
itu menyuarakan hasratnya itu di hadapan penonton-penonton yang hadir.
Anugerah Sakharov merupakan pengiktirafan tertinggi oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk pejuang hak asasi manusia seperti Malala.
“Saya akan menyediakan peruntukan yang banyak untuk pendidikan,” katanya dalam satu temubual dengan wartawan CNN Christiane Amanpour.
“Saya akan menyediakan peruntukan yang banyak untuk pendidikan,” katanya dalam satu temubual dengan wartawan CNN Christiane Amanpour.
Beliau bertekad tidak akan berhenti memperjuangkan perkara itu
walaupun menerima banyak ugutan bunuh untuk memaksa gadis itu berhenti
dari perjuangannya.
“Mereka boleh menembak badan saya, tetapi mereka tidak boleh menembak impian saya,” katanya.
Pada Oktober tahun lepas, sebaik ditembak ketika pulang dari sekolah
di Pakistan Malala diterbangkan ke Britain untuk satu pembedahan
kecemasan.
Serangan kumpulan Taliban itu ketika Malala berusia 15 tahun,
mendapat kecamn hebat masyarakat antarabangsa ke atas kumpulan militan
itu.
Sejak berumur 11 tahun, Malala memperjuangkan hak untuk pendidikan
sempurna bagi wanita di Pakistan, sesuatu yang ditentang keras oleh
Taliban.
Walaupun diancam dengan pelbagai halangan, Malala terus
memperjuangkan hak untuk kanak-kanak mendapat pelajaran sewajarnya
apabila awal tahun ini menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
menyokong pendidikan percuma untuk semua.
Buku tulisannya, bertajuk I Am Malala yang dilancarkan awal minggu
ini telah pun mendapat sambutan hebat dan akhir bulan ini Malala sudah
pun dijadualkan untuk bertemu Ratu England Queen Elizabeth II selepas
dijemput untuk menghadiri satu majlis resepsi di Istana Buckingham.
No comments
Post a Comment