KUALA KRAI – “Pagi tadi adik beritahu saya dia baru belajar buat
jerat ayam, namun saya tidak menyangka tidak lama selepas itu menemuinya
dalam keadaan tergantung dengan lehernya terjerut.”
Demikian kata Nor Amira Idayu Yusuf, 15, kakak kepada Muhammad Idham,
12, yang ditemui dalam keadaan leher terjerut pada kabel komputer yang
diikat pada tiang bumbung dapur rumah, kira-kira jam 9.15 pagi hari ini.
Difahamkan sebelum kejadian berlaku, murid tahun enam Sekolah
Kebangsaan (SK) Bedal itu berhasrat menggunakan tali itu untuk menjerat
ayam peliharaan di sekitar rumahnya.
Amira berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu bersama kakak
dan adik bongsunya, Nor Atikah, 18, dan Muhammad Aidil, 6, selain
neneknya, Imah Mamat, 87, sementara ibunya Siah Che Soh, 51, dan bapanya
Yusuf Mamat,62, keluar menoreh getah di kebun terletak kira-kira lima
kilometer dari rumah mereka.
“Ketika menuju ke dapur saya terkejut mendapati adik dalam keadaan
tergantung di tali dan terdapat kerusi di sebelahnya, saya tergamam dan
terus memberitahu keluarga yang berada di ruang tamu dan menghubungi
pegawai perubatan, mereka mengesahkan adik saya tiada lagi,” katanya
yang mempunyai 12 adik-beradik.
Amira berkata, sebelum kejadian, dia sempat bersembang seketika
dengan Muhammad Idham yang baru bangun tidur di bahagian hadapan rumah
mereka dan mangsa memaklumkan kepadanya dia baru sahaja mempelajari cara
menjerat ayam.
Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa walaupun mengetahui adiknya
tidak suka melakukan sebarang aktiviti melibatkan haiwan apatah lagi
menjerat ayam.
Bagaimanapun katanya, Amira mengakui adiknya menunjukkan beberapa
perubahan tetapi dia tidak mengambil kisah di sebalik perangai pelik
Muhammad Idham dan hanya menganggap itu perkara biasa.
“Kebiasaannya adik marah jika ahli keluarga keluar rumah tanpa
membawa dia bersama-sama, tetapi akhir-akhir ini dia buat tidak kisah.
“Adik juga berubah menjadi pendiam, dia tidak suka marah-marah,
kebiasaannya jika ada perkara yang tidak kena pada dia, pasti adik
marah, tetapi dia nampak lebih tenang sejak kebelakangan ini.
“Adik suka menyakat saya, boleh dikatakan selalu dia buat begitu,
tetapi kami agak rapat, itu memang sudah menjadi kebiasaannya menyakat
saya.
“Selepas ini, tidak ada lagi orang yang akan menyakat saya, yang
tinggal hanya kenangan,” katanya yang tidak dapat menahan sebak
menceritakan detik-detik dilalui bersama arwah.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi
Superintendan Nuruddin Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa
terjerut diri sendiri.
“Kita juga sahkan, mangsa tiada masalah dengan keluarga,” katanya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Kuala Krai untuk siasatan
lanjut dan dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Bedal. – Sinar Harian
No comments
Post a Comment