Foto haiwan liar yang dirakamkan oleh seorang pengunjung safari, John Chaney, 63, di Botswana ini mampu meruntun jiwa jika anda memahami apa yang berlaku pada saat itu.
Imej seekor gajah betina sedang berkabung atas kematian rakannya iaitu seekor gajah jantan nyata mengundang rasa pilu dan air mata di kalangan pengunjung yang menyaksikannya.
Pada waktu itu, Chaney dan beberapa pengunjung lain sedang dibawa oleh renjer taman untuk sesi lawatan dan secara tidak sengaja terjumpa bangkai haiwan itu.
Bangkai gajah yang sudah beberapa hari mati itu telah mulai mereput dan dikerumuni hampir 20 burung pemangsa dan dubuk.
“Sedang renjer taman menghubungi bantuan untuk mengalihkan gading gajah itu, tiba-tiba datang seekor gajah betina dari semak dan menghalau burung serta dubuk tersebut.
“Ia kemudiannya melilit belalainya perlahan-lahan ke gading gajah yang mati itu dan terus berkeadaan begitu.
“Kami memerhatikan perbuatannya selama 20 minit dan hampir semua yang ada di situ menangis,” jelas Chaney.
Tambahnya lagi, saat itu amat menyentuh perasaan mereka apabila melihat seekor gajah ‘mengucapkan selamat tinggal’ kepada rakannya.
Sekembalinya mereka ke tempat itu beberapa jam kemudian, gajah itu masih dalam keadaan yang sama.
“Kita boleh melihat emosi manusia pada haiwan di Afrika. Bagi saya, di sinilah tempatnya untuk anda lihat sifat haiwan liar yang sebenar berbanding di zoo,” kata Chaney.
Foto tersebut telah menerima anugerah istimewa dari pihak National Geographic Traveler pada tahun 2012.
No comments
Post a Comment