Bangkok – Pasukan keselamatan Thai
kelmarin menembak mati empat anggota pemisah, termasuk Abdul Roheng
Da-eso atau “Black Pele” yang dikehendaki menerusi 10 waran tangkap.
Keempat-empat mereka terbunuh dalam kejadian tembak-menembak selama 15 minit.
Dua anggota polis turut mati dalam
kejadian yang menyaksikan 50 anggota polis dan tentera menyerbu sebuah
kediaman di daerah Rueso, kira-kira jam 2 petang selepas pihak berkuasa
diberitahu terdapat sekumpulan pemisah bersembunyi di situ.
Ketika mendekati kediaman terbabit,
kehadiran pasukan keselamatan itu disedari kumpulan pemisah yang
kemudian melepaskan tembakan. Pihak berkuasa membalas tembakan dan
kejadian itu berlarutan selama 15 minit mengakibatkan dua anggota polis
maut.
Kejadian berakhir apabila tujuh anggota pemisah menyerah diri dan keluar dari kediaman itu.
Pihak berkuasa kemudian menggeledah
kediaman berkenaan dan menemui empat anggota pemisah yang mati, termasuk
Black Pele. Selain itu, polis turut merampas dua pistol, sepucuk raifal
AK47 dan lebih 100 butir bahan letupan. Dalam operasi berasingan,
tentera menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam serangan bom yang
membunuh empat tentera pada 2 Oktober lalu di Krong Pinang,Yala. Dua
suspek itu, Dolo Bueraheng dan Aha Maso didakwa turut bertanggungjawab
terhadap kematian lapan anggota tentera Jun lalu. – Agensi
No comments
Post a Comment