PETALING JAYA – Bulan madu pasangan
pengantin baharu iaitu Black Hanafiah dan isterinya, Naquia Yasirah
Mohamad Khairi terganggu gara-gara kedua-dua mereka mengalami keracunan
makanan ketika berada di Pulau Langkawi.
Black atau nama sebenarnya Hanifah
Hanafiah, 26, berkata, mereka telah ditahan di Hospital Daerah Langkawi
pada malam Khamis selepas mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan
keletihan.
“Alhamdulillah keracunan tersebut tidak
terlalu teruk dan kami hanya ditahan selama beberapa jam sahaja di
hospital selepas diberikan air garam untuk menyeimbangkan kembali
bendalir dalam badan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada
Jumaat.
Black dan Naquia, 28, selamat
diijabkabulkan pada 13 September lalu dalam satu majlis yang diadakan di
Zebra Square, Kampung Pandan.
Dalam perkembangan sama, Black berkata,
kejadian berlaku selepas mereka menikmati makanan laut sejurus sampai di
pulau peranginan itu pada malam Rabu lalu.
Kata Black, dia dan isterinya mula
mengalami cirit-birit pada keesokan paginya sebelum ia melarat sehingga
petang dan mengambil keputusan untuk pergi ke hospital mendapatkan
rawatan.
“Mula-mula ingatkan sakit perut biasa
sahaja tetapi ia semakin melarat sehingga ke petang sampaikan kami tidak
larat untuk ke mana-mana dan duduk di dalam bilik hotel sahaja,”
ujarnya.
Sementara itu, Black berkata, kejadian
itu tidak menggagu percutian bulan madu mereka malah mengeratkan
hubungan suami isteri yang baharu terjalin selama seminggu.
“Saat-saat begini mengeratkan kami dan
ia tidak menggagu langsung dan hari ini (Jummat) keadaan kami sudah
kembali pulih dan kami mahu bersiar-siar di pulau ini,” jelasnya.
Tambah Black, dia dan Naquia akan berada
di Pulau Langkawi sehingga Sabtu (esok) sebelum berangkat ke Korea
Selatan pada Isnin depan. – mStar Online
No comments
Post a Comment