PENYANYI cantik yang pernah memenangi Ratu Cantik 2008, Soo Wincci akui dirinya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM 1 juta demi melancarkan album pertamanya di Taiwan.
Meskipun tindakan berisiko tinggi tersebut disifatkan “kerja gila” oleh orang disekelilingnya, namun Wincci tekad melakukannya.
Malah, Wincci terpaksa mengorbankan cintanya setahun lalu demi melaksanakan misi tersebut.
“Memang Wincci buat pinjaman bank sebanyak RM 1 juta dengan tempoh pembayaran balik selama 30 tahun.
“Sebenarnya saya memang sangat takut, tetapi dua lagu saya sudah ada dalam carta Taiwan beberapa bulan, setidak-tidaknya, saya lega sedikit,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Bukit Jalil, malam tadi.
Menurut Wincci, sebanyak setengah juta ringgit diperuntukkan bagi pengiklanan dan bakinya untuk albumnya yang berjudul Happiness.
Katanya, Taiwan dipilih memandangkan negara tersebut merupakan sebuah lokasi terbaik untuk pemasaran dalam bidang muzik.
Ketika ditanya soal tindakan beraninya yang mengikat perjanjian selama 30 tahun hanya untuk sebuah album, Winci akui mahu keluar daripada zon selesa.
“Saya mahu keluar daripada zon selesa saya. Pasaran di Malaysia memang kita rasa selamat tapi di luar, saya mahu belajar benda baru dan bawa balik ke Malaysia supaya orang lain boleh belajar.
“Apabila saya pergi Taiwan baru saya tahu, sebuah album bernilai RM 1 juta. Macam MTV Asia, kita kena bayar untuk slot iklan dan apabila lagu itu hit, baru boleh masuk carta. Formulanya memang berbeza,” katanya.
Menyentuh soal cintanya yang kandas di tengah jalan, Winci berkongsi cerita di sebalik perpisahan tersebut.
“Kami putus cinta sudah setahun kerana hutang ini. Saya yang minta putus. Dia tidak tahu keputusan saya (berhutang), tapi sekarang dia sudah tahu.
“Kini, dia pun sudah bertunang dan bakal berkahwin tahun depan. Saya doakan kebahagian mereka,” katanya yang turut mengenali bakal isteri bekas kekasihnya itu.
Menjawab dakwaan Wincci ditaja Datuk, Wincci akui menolak tawaran itu.
“Memang ada banyak “tawaran baik” sama ada di sini (Malaysia) mahupun di Taiwan tapi, saya lebih rela berhutang daripada maruah saya tergadai. Tiada jalan singkat untuk berjaya.
“Jika ada Datuk taja saya, saya tak perlu terbang sini, terbang situ. Saya tak perlu menyanyi,” katanya yang terpaksa ke Taiwan setiap dua minggu.
Penyanyi berusia 28 tahun ini juga merancang untuk mengadakan konsertnya di peringkat antarabangsa.
“Kini, saya perlu rancang album kedua kerana di sana (Taiwan), satu album memang tidak cukup.
“Saya juga ada simpan hasrat untuk mengadakan konsert di peringkat antarabangsa tapi ia memerlukan persiapan yang rapi.
“Saya memang nak pergi Hollywood. Jadi, saya perlu mula mengorak langkah sekarang,” katanya. – Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment