Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » [Wow] Yamamoto Hiroyuki - Orang Jepun Pun Dah Pandai Baca "JAWI"
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


"BAHASA Melayu dan tulisan Jawi sangat dekat dengan diri saya. Rugi jika anak-anak muda sekarang tidak merasai keindahan yang merangkumi sosio budaya tradisi nenek moyang mereka," ujar Prof. Madya Dr. Yamamoto Hiroyuki, 46.Sekali imbas, pasti ramai yang tidak menyangka lelaki warganegara Jepun itu mampu bertutur dengan fasih dalam Bahasa Kebangsaan. Malah patah bicaranya lebih Melayu, jika dibandingkan dengan sesetengah remaja kelahiran Malaysia sendiri.

"Rasa kecintaan kepada bahasa Melayu itu terbit apabila saya mengikuti program pertukaran pelajar ketika berusia 17 tahun," ujarnya memulakan butir bicara.

"Saya tinggal di Malaysia bersama keluarga angkat berketurunan Baba Nyonya dari Melaka iaitu Henry Tan di Kluang, Johor dan bersekolah tingkatan enam atas di Sekolah Tinggi Kluang," imbas pensyarah di Centre for Integrated Area Studies (CIAS), Universiti Kyoto, Jepun. Institusi pengajian kedua tertua di negara Matahari Terbit itu merupakan antara universiti terbaik di Asia. Ia melahirkan ramai pengkaji yang diiktiraf setinggi Anugerah Nobel sebanyak lapan kali.

Selama setahun berada di Malaysia, ia banyak membuka mata dan hati Yamamoto untuk mempelajari budaya dan sastera yang merangkumi bumi nusantara.

"Tempoh masa itu belum cukup buat saya untuk memahami secara mendalam susur galur dunia

Melayu Nusantara," ujar Yamamoto ketika ditemui di majlis Kajian Manuskrip Jawi anjuran bersama

Klasika Media, Kota Buku dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Jumaah, UTM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, ketika menuntut di Universiti Tokyo, anak kelahiran Chiba, Jepun itu mengambil kursus bahasa Melayu Indonesia selain memperbanyakkan pembacaan naskhah-naskhah lama. 

Pembacaannya itu juga atas tuntutan jurusan yang diambil iaitu sejarah perkembangan kebudayaan dan nasionalisme di negara-negara Islam sekitar Asia Tenggara.
SALAH satu projek terbaharu Yamamoto bagi mendukung serta menguasai lagi tulisan Jawi adalah dengan menterjemah 10,000 muka surat majalah Qalam ke tulisan rumi.


Kembali sebagai pensyarah

Selepas menamatkan pelajaran di Universiti Tokyo, dia kembali ke Malaysia pada tahun 1998. Kali ini, dia datang sebagai seorang pendidik di samping mempelajari sejarah dan struktur budaya khususnya di Sabah.

"Sewaktu berada di Sabah, saya tinggal bersama keluarga angkat daripada suku kaum Melayu Brunei ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Awang Ahmad Awang Piut di Membakut, Sabah. 

"Saya bertugas sebagai pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS selama tiga tahun. Kuliah pengajaran saya meliputi sejarah moden Sabah serta Tamadun Islam dan Tamadun Asia," tambah Yamamoto.

Pada masa sama, jangka masa itu digunakan sebaiknya Yamamoto untuk mendekati masyarakat setempat dan mengeratkan lagi hubungan bersama mereka.

Yamamoto banyak membuat kajian mengenai cara kehidupan kaum etnik, ekonomi dan semangat nasionalisme yang berada dalam kelompok masyarakat Sabah. Melalui pengamatan celiknya itu, terhasil beberapa buah buku ilmiah yang kini menjadi rujukan pelajar-pelajar pengajian tinggi. 

Antara kajian Yamamoto yang diterbitkan ialah Harvesting an Identity (2002), Foreigners' Nationalism in Malaysia: Donald Stephens and K. Bali in Making of Sabah Nationhood (2001) dan

From Bornean Federation to Malaysia: Analysis of 'Stephens' Merdeka Plan (1999).

"Saya memilih Malaysia khususnya Sabah kerana saya fikir Malaysia akan menjadi teladan untuk dunia dari segi pembentukan masyarakat majmuk.

"Keunikan atau kekuatan masyarakat Malaysia pada saya adalah percampuran atau pengubahsuaian unsur kebudayaan dalam masyarakat seperti bahasa, makanan, pakaian, cara hidup dan lain-lain," jelas Yamamoto.

Akuinya lagi, unsur budaya diwarisi daripada asal-usul tamadun masing-masing, seperti cara hidup orang Melayu dipengaruhi oleh cara hidup wilayah Arab, orang Cina dari negara China dan orang India dari negara India. Namun begitu, setiap kaum tidak hanya menyalinkan amalan di wilayah-wilayah tersebut, tetapi menyesuaikan dengan keadaan tempatan. 

Karya-karya sastera tulisan anak tempatan seperti K. Bali dan Amil Jaya juga menjadi rujukan tambahan kepada Yamamoto yang dianggapnya berjaya membawa mesej perpaduan kesepaduan hidup masyarakat majmuk.

"Mengambil contoh tulisan-tulisan Amil Jaya yang banyak mengutarakan persoalan mengenai pertembungan hidup yang berbeza pegangan kepercayaan di Sabah. Ia tidak diakhiri dengan pergaduhan atau pertengkaran, malah penduduknya sepakat hidup secara aman," jelas Yamamoto.
YAMAMOTO (kanan) bersama keluarga angkatnya, famili Awang Awang Piut (dua dari kanan) di Membakut, Sabah.


Dia kini dalam usaha untuk menterjemahkan majalah Qalam keluaran tahun 1950-an hingga 1960-an kepada tulisan rumi. Projek itu diusahakan sejak dua tahun bersama Klasika Media yang berpusat di Kuala Lumpur. 

"Ia mengambil masa panjang kerana tulisan Jawi yang digunakan menggunakan bahasa lama. Oleh demikian saya mendapatkan bantuan daripada Klasika Media untuk proses transliterasi. Setakat ini hampir separuh daripada 10,000 muka surat telah diterjemahkan," ujarnya.

Menurut Yamamoto, majalah Qalam dipilih kerana tempoh masa penerbitan naskhah itu menunjukkan semangat nasionalisme yang tinggi di Semenanjung Malaysia.
Belajar membaca Jawi

Klasika Media merupakan sebuah kegiatan perniagaan yang berasaskan penyelidikan dan penerbitan khazanah khususnya dalam bidang Jawi.

Walaupun belum berapa mahir dalam manuskrip Jawi, Yamamoto boleh membaca Jawi dengan baik hasil pembelajarannya sendiri.

"Saya belajar membaca Jawi berpandukan buku-buku seperti Belajar Tulisan Jawi terbitan Fajar Bakti tahun 1977 dan juga buku-buku tulisan pendeta Za'ba," kata Yamamoto. Dia berpendapat tulisan Jawi perlu dipermudahkan supaya golongan muda mudah mendekati warisan berharga tersebut.

"Di negara Jepun sendiri, jelasnya, beberapa aksara klasik sudah dimodenkan kerana tidak lagi dapat difahami oleh generasi muda," jelas Yamamoto. 

Dia berpendapat bahawa ramai yang menganggap amalan pemodenan itu sebagai satu kecacatan kerana tidak mengikut amalan asal atau tulen.

"Saya melihat bahasa Melayu semakin berkembang dan selari dengan arus modenisasi. Penerapan bahasa-bahasa luar perlu dilihat sebagai satu proses perkembangan linguistik yang positif untuk kelangsungannya," ujar Yamamoto mengulas survival bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam kemajuan dunia moden.

 http://www.kosmo.com.my

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments