PADA tahun lalu kemenangan pelakon Aaron Aziz yang merangkul Anugerah Bintang Paling Popular telah dipertikaikan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Zed Zaidi. Ini kerana dia berasal dari Singapura.
Bagaimanapun, tahun ini aktor kelahiran Singapura itu pastinya boleh menarik nafas lega apabila dia tidak lagi mempertahankan kemenangan yang pernah diraihnya menerusi acara Anugerah Bintang Popular 2012 setelah tumpas kepada Shaheizy Sam.
Aaron yang ditemui selepas acara berakhir pada Ahad lalu berkata, dia akur dengan keputusan tersebut dan ini bukan bermakna dirinya sudah mula hilang sokongan peminat.
Selain berharap tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul selepas kejayaannya merangkul anugerah Pelakon TV Lelaki Popular, pelakon itu meluahkan rasa terima kasih kepada peminat yang terus menyokong kerjaya seninya.
Kosmo!: Bolehkah Aaron komen tentang kegagalan untuk mengekalkan kemenangan pada tahun lalu?
AARON: Saya menganggap ia bukanlah satu kegagalan yang besar, sebaliknya ia merupakan usaha, kerja keras dan kesungguhan yang dilakukan oleh peminat Sam sehingga dia dinobatkan sebagai bintang yang paling popular. Lagipun, saya tidak kisah sama ada menang atau kalah dalam mana-mana acara anugerah. Kalau menang pastinya ia merupakan satu penghargaan dan kalau tewas pula sekurang-kurangnya tiada lagi kontroversi yang berlaku.
Adakah ini bermakna populariti anda sudah mula menurun sekarang?
Bagi saya, kegagalan ini satu ‘kelegaan’. Tetapi ini tidak boleh menjadi penanda aras bahawa populariti saya semakin menurun. Lagipun saya akui pada tahun lalu saya tidak memiliki sebarang produk yang kuat, kecuali drama bersiri Adam dan Hawa. Tidak dinafikan impak terhadap drama tersebut sangat kuat sehingga saya berjaya merangkul anugerah untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan sangat berterima kasih kepada Datin Zaiton Mohd. Jiwa yang telah memberikan saya peluang berlakon dalam drama tersebut.
Adakah anda berminat untuk berlakon drama bersiri yang agak panjang seperti Adam dan Hawa selepas ini?
Sebenarnya saya masih lagi berminat berlakon drama sebegitu, tetapi mungkin hanya sekali dalam tempoh setahun. Namun begitu, jika ada tawaran mungkin saya akan mempertimbangkannya terlebih dulu, terutamanya melihat kepada skrip dan jalan cerita.
Apakah projek terbaharu anda sekarang?
Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Romeo Kota yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn. Bhd. serta dibintangi beberapa pelakon seperti Fizo Omar, Nabil Ahmad dan Hanis Zalikha. Selain berlakon, saya juga turut menjadi pengarah untuk filem tersebut.
Bagaimanakah anda boleh terlibat menjadi pengarah?
Pada mulanya Ahmad Idham sekadar menawarkan saya berlakon sahaja untuk filem ini, tetapi semasa perbincangan dilakukan tiba-tiba dia menawarkan saya mengarah dan saya terus memberikan persetujuan.
Apakah yang membuatkan anda bersetuju menerima tawaran itu?
Saya merasakan peluang sebegini bukanlah mudah diperoleh dan begitu menghargai kepercayaan yang telah diberikan. Lagipun saya mahu curah segala pengalaman yang ada sebagai pelakon dalam bidang pengarahan pula.
Bagaimanakah pula dengan tawaran sebagai pengacara? Adakah anda mahu menerima tawaran mengacara program lagi selepas menerima banyak kritikan terhadap cara anda mengendalikan program Fear Factor Selebriti Malaysia?
Mungkin saya hanya terima untuk program Fear Factor sahaja. Jika untuk program lain, saya tidak pasti. Bagi saya, lain orang lain bakatnya. Jika ditanya pada saya, mungkin lakonan adalah yang terbaik buat diri saya.
[Kosmo]
No comments
Post a Comment