SUNGAI BESAR – Seorang bayi berusia empat bulan mengalami nasib malang setelah diabaikan kedua ibu bapanya yang dipercayai terlibat dengan penagihan dadah.
Difahamkan, bayi berkenaan turut mengalami jangkitan kulit, selain berat badannya turun mendadak akibat tidak pernah mendapat penjagaan rapi.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, ibu kepada bayi berkenaan dipercayai mengalami gangguan perasaan sejak suaminya ditahan awal Mac lalu atas kesalahan curi kabel.
“Selepas menjalani proses siasatan, polis mendapati bapa bayi tersebut positif dadah.
“Isterinya pula mengalami gangguan perasaan sejak suaminya ditahan dan bertindak mengambil dadah dengan lebih aktif sehingga mengabaikan keperluan anaknya itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mushar berkata, keadaan wanita terbabit disedari seorang penduduk yang melihatnya berkeliaran di sekitar kawasan Parit 7 Sungai Leman sambil mengendong bayi pada 9 April lalu.
Menurut, penduduk berkenaan kemudiannya menawarkan kepada wanita itu untuk menghubungi pihak hospital bagi membolehkan bayinya mendapat rawatan.
“Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan.
“Hasil pemeriksaan, pihak hospital mendapati bayi terbabit hanya mempunyai berat badan 2.5 kilogram dan keadaan kulitnya melecur akibat jangkitan kuman,” katanya.
Beliau berkata, bayi itu dipercayai sudah sakit sejak dua minggu lalu dan difahamkan tidak pernah menerima rawatan kesihatan di hospital sejak lahir.
“Bayi ini hanya menerima suntikan BCG ketika dilahirkan. Bayi ini juga disahkan tidak mempunyai bekalan air yang cukup di dalam badan dan ada ketika mangsa hanya diberikan air kosong oleh ibunya,” katanya.
Menurutnya, hasil maklumat daripada pihak hospital, polis kemudiannya menahan ibu bayi tersebut di hospital berkenaan jam 1.30 petang pada hari kejadian bagi menjalankan siasatan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, ibu mangsa menggunakan wang yang diperoleh hasil pemberian ehsan penduduk sekitar untuk membeli dadah.
“Wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan dan sudah dituduh di Mahkamah Sungai Besar pada Selasa lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Mushar mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan dadah yang mampu memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan keluarga.
Katanya, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan itu dapat dikawal. – Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment