Savar (Bangladesh): Sebuah bangunan lapan tingkat terdiri daripada beberapa kilang pakaian runtuh semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 96 orang terbunuh.
Ia sekali gus menyerlahkan isu keselamatan dalam industri pakaian di negara itu.
Hanya tingkat bawah Plaza Rana di bandar Savar di pinggir Dhaka itu masih tegak apabila bangunan itu, yang menurut seorang menteri dibina secara haram, runtuh jam 9 pagi (11 pagi waktu Malaysia).
Beratus-ratus anggota bomba, tentera dan pekerja penyelamat yang menggunakan pemotong konkrit dan kren berusaha mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan itu.
Mayat dan mangsa yang cedera ditarik keluar dari bahagian atas runtuhan itu dengan mengguna gelungsur sementara yang diperbuat daripada kain yang beberapa jam sebelum itu dipotong untuk dijadikan baju dan seluar untuk dieksport ke pasaran Eropah.
Tangisan mereka di bawah runtuhan berkenaan, merayu supaya diselamatkan boleh didengar ketika ribuan anggota keluarga menanti dengan cemas tidak jauh dari tempat kejadian, sebahagiannya bertahlil.
“Tolong selamatkan kami. Ada 30 orang di sini. Tolong selamatkan kami,” kedengaran tangisan seorang wanita dari dalam runtuhan itu. Mereka yang terselamat berkata, bangunan itu mengalami keretakan Selasa lalu, menyebabkan pekerja diminta keluar. Bagaimanapun, mereka diarah kembali bekerja semalam. “Pengurus memaksa kami bekerja semula dan hanya sejam selepas memasuki kilang itu, bangunan berkenaan runtuh,” kata seorang pekerja, Mousumi, 24.
Dua kilang dalam bangunan itu, New Wave Style dan New Wave Bottoms, menghasilkan pakaian untuk syarikat Mango dari Sepanyol dan Benetton dari Itali.
Bangladesh mempunyai industri pakaian kedua terbesar di dunia. Bagaimanapun, ia berdepan dengan kemalangan dan tunjuk perasaan pekerja yang menuntut gaji dan keadaan bekerja yang lebih baik.
Menurut Persatuan Pembuat dan Pengeksport Kain Bangladesh, syarikat di bangunan itu mempunyai lebih 2,600 pekerja. Lebih 70 orang terbunuh apabila sebuah kilang pakaian runtuh di kawasan sama pada 2005. - AFP
No comments
Post a Comment