PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman memberi amaran kepada pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.
Yasin, 39, berkata, ugutan bunuh yang diterimanya menerusi laman YouTube selepas memuat naik lagu nyanyiannya berjudul Reformasi adalah bukti ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan medium sosial tersebut untuk mengugut.
“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa malah saya sebelum ini pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.
“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat tetapi saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini,” jelasnya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Damansara di sini pada Selasa.
Yasin menerima mesej ugutan menerusi akaun YouTube miliknya selepas dia memuat naik lagu Reformasi nyanyiannya yang dicipta khas bersempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 yang berlangsung pada 25 Februari lalu.
Mesej berkenaan yang ditulis oleh individu bernama ‘Azzali Abdul Aziz’ antara lain mengugut untuk memijak-mijak penyanyi itu sehingga lumat manakala ‘Pencinta Muzik’ pula bekata Yasin patut dibunuh.
Dalam pada itu, Yasin berkata, buat sementara waktu dia tidak bercadang untuk membuat sebarang laporan polis terhadap dua individu tersebut sebaliknya mahu menyampaikan mesej supaya mereka dan sesiapa sahaja menghentikan budaya tidak sihat itu daripada terus berleluasa.
Turut hadir peguamnya, Yusmadi Yusoff.
Tambah Yasin, sebagai seorang rakyat Malaysia, dia tidak membuat sebarang kesalahan sehingga dikecam sedemikian rupa sebaliknya hanya meluahkan perasaan menerusi lagu.
“Tidak kira daripada parti mana sekali pun budaya mencaci, menghina dan mengugut tidak sepatutnya berlaku dan keadaan ini jika dibiarkan akan berterusan.
“Saya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan buat masa ini cuma ingin memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana supaya berhenti daripada melakukan perkara yang tidak sihat seperti itu,” jelasnya.
Penyanyi itu turut menegaskan dia tidak terlibat dalam mana-mana parti politik sebaliknya hanya dilantik sebagai duta Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 18 Februari lalu.
Jelas Yasin, dia bersetuju menjadi duta AMK kerana menyokong perjuangan parti itu namun memberitahu tidak berminat untuk bergiat aktif dalam dunia politik. – Mstar Online
No comments
Post a Comment