SEREMBAN - Empat lelaki bersenjatakan beberapa pucuk pistol bertindak nekad merompak sebuah kedai emas dan melarikan 11 dulang barangan kemas dalam satu kejadian di Taman Senawang Jaya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, penjenayah berkenaan terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan ke udara di hadapan premis terbabit menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
"Penjenayah yang memakai topeng muka kemudiannya memecahkan cermin pameran barangan kemas dan mengambil 11 dulang barangan kemas sebelum melarikan diri dengan motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian pemilik premis berada di kedainya bersama dua lagi pekerja dan mereka tidak diapa-apakan.
Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksirkan, katanya. - BERNAMA
No comments
Post a Comment