Kuala Lumpur – Wang RM50,000 milik
pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin
juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa,
Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia
ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30
pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9
Bandar Baru Bangi.
Sumber polis berkata, ketika membuat
semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka
berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak
membuat sebarang pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak
bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana
sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa
pengetahuannya.
“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa
Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada
hari yang sama,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan
dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua
beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan,
Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika
dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan
kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Buat masa ini saya tidak mahu
menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam
siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan
selesai.
“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten
Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung
kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun
Keseksaan. - mStar Online
No comments
Post a Comment