PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish bernasib baik apabila perabot kafe dan baju jubah jenamanya yang ditempatkan di sebuah butik di Bangsar tidak dicuri dalam satu rompakan yang berlaku pada Selasa lalu.
Nora, 32, berkata, dia terkejut apabila diberitahu tentang kejadian itu dan bergegas ke butik berkenaan untuk memeriksa barang-barang perabot yang bernilai kira-kira RM100,000 yang dihias di butik itu.
"Saya sangat terkejut apabila mereka memberitahu butik itu dirompak pada pagi Selasa lalu dan saya terus bergegas untuk memeriksa barang-barang saya.
"Ketika itu saya baru sahaja bawa masuk perabot sofa, kerusi dan meja untuk dihias di kafe yang bakal dilancarkan itu. Nasib baik semua barang saya masih ada dan baju jubah saya juga tidak diambil.
"Mereka ambil jubah-jubah jenama luar negara yang mahal berharga ribuan ringgit," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Khamis
Katanya, butik berkenaan kerugian lebih RM20,000 dan pemiliknya sudah pun membuat laporan polis pada Selasa lalu.
Nora berkata, dia bakal membuka sebuah kafe Kopi & Xoxo di butik berkenaan yang akan dilancarkan secara rasmi pada 27 Mac ini.
Katanya, setakat ini dia masih memikirkan tentang menu yang bakal dijual selain mampu menarik pengunjung datang ke kafe tersebut.
"Persiapan daripada segi persiapan sudah hampir siap yang mana saya dan kawan-kawan perempuan saya buat sendiri semuannya.
"Sekarang kami sedang dalam fasa untuk mencari menu yang sesuai dan mampu menarik orang untuk datang ke kafe itu. Saya mahu orang datang kerana makanan yang kita jual sedap," ujarnya..
No comments
Post a Comment