KLANG – Misteri kehilangan coli dan seluar dalam wanita di sekitar Taman Seri Bahagia di sini terungkai selepas polis menahan seorang lelaki berstatus duda dan menemui pelbagai pakaian dalam itu di rumah suspek di Jalan Temeggung 20, Off Jalan Sungai Jati, Taman Seri Bahagia di sini pukul 11 malam, Isnin lalu.
Perbuatan pelik dan tidak bermoral duda berusia 35 tahun itu terbongkar selepas jirannya membuat laporan kehilangan pelbagai peralatan rumah bernilai RM5,000 pada 19 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehilangan peralatan elektrik daripada seorang pengadu di Taman Seri Bahagia di sini.
Katanya, antara barangan yang dilaporkan hilang adalah set televisyen, cerek elektrik, kasut jenama Adidas, beg, kamera, mesin jahit, mesin pencetak, seterika, kipas meja dan banyak lagi dengan jumlah kerugian RM5,000.
“Bertindak atas maklumat, polis telah menyerbu sebuah rumah di taman tersebut pukul 11 malam pada Isnin lalu dan menahan seorang duda yang berasal dari Perak.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan dia juga merupakan jiran pengadu dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman memberitahu, pemeriksaan dalam rumah suspek mendapati, barang-barang milik pengadu yang hilang ditemui di rumah duda berkenaan.
Menurutnya, turut ditemui adalah pelbagai baju dan seluar dalam wanita dengan jumlah yang banyak dalam rumah terbabit.
“Kita syak, suspek telah mencuri seluar dan coli di ampaian lebih kurang 50 buah rumah di sekitar Taman Seri Bahagia ini.
“Hasil siasatan awal, kita dapati suspek yang bertindak berseorangan mencuri seluar dan coli tersebut adalah untuk bahan koleksi sahaja,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek turut terlibat dengan kes pecah rumah dan lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam.
Kosmo Online
No comments
Post a Comment