Baling: “Ketika hendak membuka dapur gas ia tiba-tiba meletup sehingga api menyambar dinding rumah.
“Saya bergegas lari ke ruang tamu dan keluar meminta bantuan. Bagaimanapun api marak dengan cepat menyebabkan semua barangan tidak sempat diselamatkan,” kata Habsah Man.
Habsah, 70, dari Kampung Belakang Pekan Kuala Pegang, di sini, berkata, kejadian jam 11.45 pagi itu apabila dia hendak memasak hidangan tengah hari untuk dua cucunya, Mohd Zaim Zamri, 10, dan adiknya, Zamzati, 8, tetapi tidak sempat berbuat demikian.
“Kebiasaan kedua-dua cucu saya akan makan selepas pulang dari sekolah.
“Selepas menyediakan lauk untuk dimasak saya kemudian membuka dapur gas terkejut apabila ia tiba-tiba meletup dan terbakar.
“Saya tergamam kerana tidak sempat selamatkan barang berharga.
“Apapun saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Anak mangsa, Zamri Yaakob, 48, berkata, ketika kejadian itu, dia berada di tempat kerja.
“Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengenai kejadian itu dan bergegas pulang kerana bimbang ibu yang tidak sihat,” katanya,” katanya yang juga Pengerusi Biro Bencana Alam UMNO Bahagian Baling.
Zamri berkata, kebiasaannya dia membantu mereka yang ditimpa musibah, tetapi kali ini Allah mengujinya dan menerima dengan sabar.
“Saya reda apa yang berlaku kerana semua yang terjadi kehendak Allah,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.10 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua buah kenderaan dari Baling dan Sik.
“Api dapat dikawal dalam masa 20 minit daripada merebak ke rumah penduduk yang lain.
“Seramai 18 anggota termasuk pegawai dan anggota sukarela membantu memadam kebakaran itu,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8247#sthash.WSlEdJwr.dpuf
No comments
Post a Comment