Tidak timbul isu mabuk atau bersosial dengan wanita seksi. Malah tujuan dia bergambarpun hanya sekadar memenuhi permintaan peminat yang memintanya berbuat begitu!
Begitulah jawapan Zul Ariffin mengenai dakwaan dia mabuk dan bersosial dengan wanita seksi di sebuah kelab di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini.
"Ketika kejadian saya sedang menonton persembahan live band di sebuah kelab dan disapa oleh wanita berkenaan untuk mengambil gambar dan saya sekadar memenuhi permintaannya.
"Selepas gambar itu tersebar saya sedar ia satu kesilapan besar kerana cara itu agak berlebihan sehingga menimbulkan salah faham di kalangan peminat," ujar Zul menjelaskan bahawa gambar wanita yang tersebar itu adalah peminatnya dan dia tidak mengenali wanita berkenaan.
"Kadang-kadang rasa serba salah untuk menolak permintaan peminat untuk bergambar atau menegur cara mereka kerana bimbang mereka berkecil hati.
"Namun kejadian itu memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati apabila bergambar dengan peminat wanita selepas ini," jelasnya ketika ditemui media pada majlis pengumuman pengacara Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling, Selangor hari ini.
Mengenai kononnya Zul seolah melarikan diri daripada media apabila isu tersebut timbul, jawabnya dia tidak berniat berbuat demikian.
"Saya bukan lari tapi tunggu masa sesuai dapat berjumpa semua media untuk jelaskan situasi sebenar kerana lebih mudah menjelaskan secara berhadapan.
"Tetapi dua orang pertama yang tahu situasi sebenar adalah ibu saya dan Gayatri," ujarnya yang tidak menyalahkan wanita berkenaan yang memuat naik foto berkenaan di laman sosial.
Dalam hal ini, katanya ada pihak yang cuba memutarkan cerita sebenar disebalik gambar tersebut untuk kepentingan sendiri. Sehubungan itu, dia akan lebih berhati-hati sekiranya ingin bergambar dengan peminat wanita di lain masa.
No comments
Post a Comment